Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid
KUALA LUMPUR, 26 Mac (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup tinggi pada Rabu.
Prestasi memberangsangkan itu dipacu oleh belian pada harga rendah selain peningkatan berlarutan daripada niaga hadapan minyak kacang soya Chicago Board of Trade (CBOT) serta harga tenaga semalaman.
Ketua Penyelidikan Komoditi Sunvin Group yang berpusat di Mumbai, Anilkumar Bagani bagaimanapun berkata pasaran masih kurang keyakinan terhadap prospek minyak sawit yang berkembang.
"Hal ini disebabkan oleh penutupan berterusan oleh dana China dalam niaga hadapan minyak sawit yang ditapis, diluntur dan dinyahbau (RBD) di Bursa Komoditi Dalian, kekurangan pembelian destinasi, pertumbuhan pengeluaran yang lebih kukuh daripada jangkaan selain berlaku penurunan eksport minyak sawit Malaysia,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, Penganalisis Kanan Fastmarkets Palm Oil Analytics, Dr Sathia Varqa berkata niaga hadapan MSM ditutup lebih tinggi sedikit hari ini selepas momentum pembelian pada harga rendah berkurangan dan peniaga menarik diri susulan dipengaruhi asas pengeluaran yang meningkat.
"Asas pengeluaran yang lebih tinggi pada Mac, ditambah dengan eksport yang lebih rendah menghalang kenaikan serta menyebabkan peniaga bertaruh pada peningkatan stok simpanan akhir bulan," katanya.
Pada penutup dagangan, kontrak April 2025 meningkat RM24 kepada RM4,588 setiap tan, Mei 2025 naik RM12 kepada RM4,389 setiap tan dan Jun 2025 melonjak RM14 kepada RM4,259 setiap tan.
Julai 2025 bertambah RM19 kepada RM4,165 setiap tan, Ogos 2025 berkembang RM20 kepada RM4,101 setiap tan dan September 2025 mencatatkan kenaikan RM16 kepada RM4,061 setiap tan.
Jumlah dagangan turun kepada 70,956 lot berbanding 103,859 lot pada Selasa manakala kepentingan terbuka berkurang kepada 255,190 kontrak daripada 257,257 kontrak sebelumnya.
Harga fizikal MSM untuk April Selatan meningkat RM20 kepada RM4,700 setiap tan.
-- BERNAMA