EKONOMI

IILM RAIH US$500 JUTA ASET PENUHI PENINGKATAN PERMINTAAN SUKUK

25/03/2025 10:47 PM

KUALA LUMPUR, 25 Mac (Bernama) -- Perbadanan Pengurusan Likuiditi Islam Antarabangsa (IILM) memperoleh aset berkualiti tinggi bernilai US$500 juta (AS$1 = RM4.435) dalam usaha mengembangkan asetnya untuk memenuhi peningkatan permintaan terhadap kertas Islam jangka pendek.

Dalam satu kenyataan hari ini, IILM berkata dengan kemasukan aset asas baharu dalam portfolio mereka, ia melengkapkan penerbitan dan penerbitan semula sukuk jangka pendek berjumlah US$810 juta melibatkan tiga tempoh yang berbeza iaitu masing-masing bagi sebulan, tiga bulan, dan 12 bulan.

IILM berkata tiga siri sukuk tersebut telah dinilai secara kompetitif pada kadar 4.50 peratus untuk US$390 juta (tempoh sebulan), 4.52 peratus untuk US$275 juta (tempoh tiga bulan), dan 4.45 peratus untuk US$145 juta (tempoh 12 bulan).

Transaksi sukuk jangka pendek hari ini menandakan lelongan kelima mereka pada tahun ini, dengan jumlah penerbitan terkumpul mencapai US$5.05 bilion merentasi 14 siri sukuk dengan tempoh yang berbeza.

Lelongan tersebut menyaksikan bidaan kompetitif dalam kalangan pengedar utama dan pelabur global, dengan nilai perolehan yang kukuh berjumlah US$1.74 bilion, mewakili nisbah bidaan kepada perlindungan sebanyak 215 peratus.

Ketua Pegawai Eksekutif IILM Mohamad Safri Shahul Hamid berkata kemasukan aset berkualiti tinggi bernilai US$500 juta dalam portfolio mereka menjadikan jumlah sukuk IILM terkumpul mencapai rekod tertinggi sebanyak US$4.69 bilion.

“Kemasukan aset baharu ini bukan sahaja mengukuhkan tawaran kecairan kami tetapi juga mengesahkan peranan IILM sebagai penyedia penyelesaian pembiayaan jangka panjang yang berpotensi untuk penerbit dan pihak yang berhutang yang berkelayakan.

“Kami berada dalam fasa pertumbuhan yang sihat dan dijangka akan melihat peningkatan yang stabil dalam kumpulan aset sukuk terkumpul beberapa bulan akan datang dengan sekurang-kurangnya beberapa aset baharu akan dimasukkan menjelang akhir separuh pertama tahun ini,” katanya.

Mohamad Safri berkata kejayaan lelongan US$810 juta hari ini mendapat sokongan kukuh daripada nilai perolehan kontrak yang mantap dan penetapan harga yang kompetitif, mencerminkan daya tarikan sukuk jangka pendek IILM sebagai instrumen Islam yang selamat.

“Nisbah bidaan kepada perlindungan sebanyak 215 peratus dan penerbitan terkumpul tahun ini melebihi US$5 bilion memperlihatkan peranan penting IILM dalam kewangan Islam global.

“Seiring dengan turun naik pasaran yang berterusan, pelabur institusi terus mengutamakan Sukuk IILM kerana daya tahannya, kecairannya, dan pematuhannya dengan piawaian peraturan antarabangsa,” kata beliau.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan