AM

KPDN PERAK SERBU BENGKEL SIMPAN 5,000 LITER DIESEL TANPA KEBENARAN

26/03/2025 10:46 AM

IPOH, 26 Mac (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak merampas 5,000 liter diesel selepas menyerbu sebuah bengkel kenderaan di Anjung Tawas Sinaran di sini yang dipercayai dijadikan stor penyimpanan bahan api itu tanpa kebenaran, semalam.

Pengarah KPDN Perak Datuk Kamalludin Ismail berkata diesel itu dirampas selepas pemilik premis berkenaan yang berumur 59 tahun gagal mengemukakan sebagai dokumen kebenaran bagi menyimpan bahan api tersebut.

Beliau berkata pihaknya percaya modus operandi yang digunakan bagi memperoleh diesel itu ialah dengan menggunakan pemandu lori syarikat untuk mencuri daripada syarikat mereka bekerja, dan dibawa ke bengkel kenderaan terbabit. 

"Pemilik bengkel membeli diesel daripada pemandu lori pada harga murah iaitu sekitar RM2 seliter sebelum menjualnya kepada pihak industri di Ipoh," katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Kamalludin berkata turut disita 24 tong drum, 11 tong menyimpan cecair, pam minyak serta sebuah telefon bimbit, dan nilai keseluruhan rampasan RM19,363.94. 

Siasatan dijalankan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu melakukan kesalahan memiliki atau menyimpan barang kawalan berjadual minyak diesel tanpa kebenaran bertulis daripada Pengawal Bekalan. 

-- BERNAMA

 

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan