AM

MELAKA TERIMA PERUNTUKAN RM9 JUTA BANGUNKAN INDUSTRI AKUAKULTUR

26/03/2025 04:51 PM

ALOR GAJAH, 26 Mac (Bernama) -- Kerajaan Persekutuan memperuntukkan sebanyak RM9 juta bagi membangunkan industri akuakultur di Melaka, kata Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Beliau berkata inisiatif berkenaan dilaksanakan khususnya untuk membantu golongan nelayan yang terjejas akibat pembangunan di sepanjang pesisir pantai sekali gus memacu industri akuakultur di negeri itu.

"Saya telah menghadiri Majlis Mesyuarat Kewangan Negara baru-baru ini dan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) telah meluluskan peruntukan RM9 juta melalui Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan untuk membangunkan industri akuakultur.

"Kita akan mengenal pasti nelayan terjejas melalui persatuan nelayan dan kawasan yang berpotensi dibangunkan dengan jenis pembangunan akuakultur yang sesuai seperti ternakan kerang, ikan siakap, kupang dan kepah," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Bayaran Ex-Gratia kepada nelayan terjejas akibat pembangunan Kuala Linggi International Port (KLIP) yang turut dihadiri Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh.

Menurut Ab Rauf, industri akuakultur mampu memberi pulangan lumayan kepada pengusaha selain membantu memastikan bekalan makanan negara terjamin.

Dalam perkembangan lain, Ab Rauf berkata sebanyak RM1.43 juta disalurkan kepada 438 nelayan di Melaka dan Negeri Sembilan yang terjejas berikutan pembangunan KLIP.

Beliau berkata bantuan berkenaan adalah bayaran ex-gratia fasa ketiga membabitkan 304 nelayan dan nelayan darat di daerah Alor Gajah serta 134 nelayan dari Port Dickson.

"Kerajaan negeri telah bersetuju untuk mempercepatkan pemberian ex-gratia bagi 2025 sebagai bukti keprihatinan kami terhadap kebajikan dan kesejahteraan golongan nelayan yang terkesan dengan pembangunan KLIP terus terbela.

"Pada masa sama, bantuan yang diterima diharap boleh digunakan untuk persiapan Syawal yang akan tiba agar dapat menyambut lebaran dengan lebih tenang dan sejahtera," katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan