AM

AIDILFITRI: POLIS KENAL PASTI 37 LOKASI 'BLACKSPOT', 26 'HOTSPOT' DI PAHANG

27/03/2025 07:54 PM

KUANTAN, 27 Mac (Bernama) -- Sebanyak 37 lokasi blackspot atau kawasan kerap berlaku kemalangan dan 26 hotspot iaitu kawasan yang sering berlaku kesesakan telah dikenal pasti di seluruh Pahang sempena sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata Maran merupakan daerah penyumbang paling tinggi blackspot iaitu melibatkan tujuh kawasan.

Beliau berkata antara lokasi tersebut ialah Kilometer (KM) 27 hingga 47 Jalan Temerloh - Bandar Jengka, KM 100 hingga 102 Jalan Kuantan - Kuala Lumpur, serta KM 27 hingga KM 35 Jalan Pekan Tajau - Bandar Jengka.

Katanya daerah yang mempunyai paling banyak lokasi dijangka berlaku kesesakan lalu lintas ketika musim cuti kali ini ialah Temerloh dengan empat lokasi hotspot, diikuti Kuantan dengan tiga kawasan.

"Untuk Temerloh, ia melibatkan laluan di KM 7 Jalan Temerloh - Jerantut, KM 120 Jalan Kuantan - Kuala Lumpur, KM 117 berhampiran lampu isyarat Sekolah Kebangsaan Paya Pulai, dan KM 26 Jalan Jerantut - Temerloh.

"Bagi Kuantan pula, laluan yang dijangka sesak ialah di Jalan Mahkota, Jalan Wong Ah Jang dan Jalan Sekilau - Tun Ismail," katanya.

Yahaya berkat, daerah lain yang turut dikenal pasti akan mengalami kesesakan ialah Raub, Lipis dan Cameron Highlands, masing-masing di tiga lokasi.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan