PUTRAJAYA, 28 Mac (Bernama) -- Pembayar cukai diingatkan untuk menyemak status tunggakan cukai dan sekatan perjalanan masing-masing sebelum merancang sebarang perjalanan percutian ke luar negara sempena cuti sambutan Aidilfitri.
Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam kenyataan memaklumkan pihaknya diberi kuasa untuk menghalang mana-mana individu daripada meninggalkan Malaysia jika mereka atau syarikat mereka mempunyai tunggakan cukai yang tidak dijelaskan kepada kerajaan.
Ini berdasarkan Seksyen 104 dan 75A Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967 serta Seksyen 22 Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah 1976.
"Sekatan perjalanan merupakan tindakan terakhir yang dikenakan sekiranya pembayar cukai masih gagal membuat bayaran terhadap baki cukai tertunggak (individu dan syarikat) selepas pelbagai peringatan dan notis diberikan," menurut kenyataan itu.
Menurut LHDN, langkah penting yang perlu diambil oleh pembayar cukai yang ingin ke luar negara adalah menyemak status tunggakan cukai masing-masing terlebih dahulu menerusi portal MyTax yang boleh dicapai di https://mytax.hasil.gov.my/.
Semakan sekatan perjalanan ke luar negara boleh dilakukan menerusi portal rasmi Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di https://sspi.imi.gov.my/sspi/.
“Sekiranya pembayar cukai mempunyai tunggakan cukai dan dikenakan sekatan perjalanan, mereka adalah dimohon untuk membuat bayaran sepenuhnya atau menghubungi Pejabat HASiL yang mengendalikan fail cukai mereka.
“Ini untuk tujuan rundingan bayaran ansuran bagi membolehkan mereka meneruskan perjalanan ke luar negara,” menurut kenyataan itu.
LHDN memaklumkan permohonan pembatalan sekatan perjalanan boleh dibuat secara dalam talian menerusi perkhidmatan e-Sekatan Perjalanan di portal MyTax dengan mematuhi empat syarat iaitu Individu Warganegara Malaysia dan membuat bayaran penuh.
Syarat lain adalah kes sekatan perjalanan dikenakan di bawah ACP 1967 serta tidak melibatkan sekatan perjalanan ke atas pengarah syarikat
Selain itu, permohonan pembatalan sekatan perjalanan juga boleh dilakukan dengan prosedur dan saluran sedia ada iaitu dengan hubungi HASiL Contact Centre di talian 03-8911 1000 atau berkunjung ke Pejabat LHDN berhampiran mengikut ketetapan waktu operasi.
Maklumat lanjut berkenaan e-Sekatan Perjalanan boleh dirujuk pada soalan lazim menerusi capaian pantas di https://www.hasil.gov.my/individu/lain-lain/soalan-lazimindividu/.
-- BERNAMA