AM

BANTUAN BAYARAN BALIK UNTUK PELANGGAN PUBLIC BANK TERJEJAS BANJIR DI JOHOR

25/03/2025 06:01 PM

KUALA LUMPUR, 25 Mac (Bernama) -- Public Bank dan Public Islamic Bank menawarkan bantuan bayaran balik untuk pelanggan pinjaman dan pembiayaan yang terjejas bencana banjir di Johor.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Public Bank Tan Sri Dr Tay Ah Lek berkata bencana itu baru-baru ini telah menyebabkan ramai mengalami kesukaran meneruskan kehidupan seharian.

Menyedari kepentingan itu, Public Bank terus komited untuk meringankan beban pelanggan terjejas dan bantuan kewangan bagi mereka yang mengalami kerugian akibat bencana itu.

Bantuan bayaran balik yang turut ditawarkan kepada daerah lain terjejas banjir yang dikenal pasti oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara sebagai kawasan dilanda bencana banjir, termasuk penangguhan ansuran bulanan untuk pinjaman dan pembiayaan sehingga enam bulan.

“Kemudahan bantuan bayaran balik itu bagi pinjaman dan pembiayaan seperti pembiayaan rumah, sewa beli dan kad kredit bagi pelanggan individu serta pinjaman dan pembiayaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi perniagaan terjejas.

Bank itu akan turut mengecualikan caj bagi penggantian dokumen berkaitan perbankan seperti kad bank, buku akaun bank dan resit Deposit Tetap/Deposit Bertempoh-i yang telah musnah atau hilang semasa banjir.

Pada masa sama, kerjasama segera telah dibuat dengan syarikat subsidiari kumpulan, Lonpac Insurance Bhd untuk proses tuntutan segera oleh pelanggan terjejas bagi kerugian yang dilindungi di bawah polisi insurans ditaja jamin oleh Lonpac.

Dalam pada itu, Public Bank turut menjadi sebahagian daripada Kemudahan Bantuan Bencana Bank Negara Malaysia meliputi pembaikan dan/atau penggantian aset bagi kegunaan perniagaan seperti loji dan jentera rosak akibat banjir serta untuk keperluan modal kerja.

Pelanggan yang bermahu memohon bantuan bayaran balik atau memerlukan maklumat lanjut, boleh mengunjungi cawangan Public Bank atau melalui 03-2170 8000.

“Bagi tuntutan insurans, pelanggan terjejas boleh menghubungi Lonpac di talian 03-2262 8688,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan