KUALA LUMPUR, 28 Mac (Bernama) -- Setiap musim Aidilfitri, hab pengangkutan tidak kira darat mahupun udara menjadi antara tempat terawal suasana sambutan hari raya itu dapat dirasai terutama menjelang hari-hari terakhir Ramadan.
Lokasi berkenaan menjadi tempat berkumpulnya musafir untuk pulang ke kampung halaman dan suasana sama masih dirasai tahun ini justeru membuktikan pengangkutan awam masih menjadi pilihan.
Tinjauan Bernama di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) hari ini mendapati suasana mulai sesak menjelang tengah hari dengan kebanyakan mereka yang ditemui memilih bas untuk berehat semasa perjalanan, selain faktor harga tiket yang berpatutan.
Pekerja swasta Nur Emilia Mohd Takyuddin, 27, berkata dia memilih menaiki bas ekspres untuk pulang beraya di Temerloh, Pahang bagi mengelak penat memandu dalam keadaan lebuh raya yang sesak.
"Saya balik seorang, jadi lagi senang naik bas berbanding pandu kereta. Tak perlu risau tentang pemanduan, boleh berehat sepanjang perjalanan,” katanya yang telah membeli tiket bas lebih awal.
Selain itu, mahasiswa yang sedang mengikuti latihan industri, Athirah Syahirah Azhari, 25, juga memilih menaiki bas untuk pulang ke kampung kerana lebih mudah, selamat dan kos perjalanan tidak mahal.
Pemerhatian Bernama di KL Sentral pula mendapati bermula 11 pagi orang ramai sudah beratur untuk menaiki ETS dan KTM termasuk seorang kakitangan kerajaan, Farah Musa, 37, yang menaiki KTM untuk ke kampungnya di Melaka.
“Masa saya sampai pada 10 pagi agak lengang mungkin sebab awal lagi, tapi sekarang dah pukul 11.30 pagi ramai orang dah mula datang keadaan pun jadi sesak sikit dekat sini, nampak gaya suasananya dari dulu sampai sekarang masih sama,” katanya yang menempah tiket sejak tahun lepas.
Terminal Bersepadu Gombak (TBG) pula yang beroperasi sepenuhnya pada 22 Mac lepas, masih sedikit lengang sekitar 10 pagi tadi namun seorang petugas yang ditemui menjangkakan terminal itu akan mula dibanjiri penumpang malam ini.
Menurut Azri Mohd Sabri, 30, beliau lega kerana tidak perlu lagi menaiki bas dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS) untuk pulang ke kampungnya di Dungun, Terengganu kerana TBG berdekatan rumahnya di Danau Kota.
“Tak perlu lagi bersesak membeli tiket di TBS seperti sebelum ini,” katanya yang turut berpuas hati dengan kemudahan dan keselesaan di TGB yang berkonsepkan pusat membeli-belah.
Tinjauan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dan 2 pula mendapati meskipun orang ramai mula memenuhi kedua-dua terminal itu, urusan di kaunter dan kiosk daftar masuk tetap berjalan lancar.
Fatin Nur Syifaa, 30, berkata beliau memilih pengangkutan udara bagi mengelak kesesakan jalan raya selain pulang lebih awal untuk meluangkan masa lebih lama bersama keluarga.
Alihan Besar, 29, pula yang sedang menanti penerbangannya ke Pulau Pinang, memuji pengurusan KLIA Terminal 1 yang efisien serta kelicinan proses daftar masuk.
Suasana Aidilfitri di KLIA Terminal 1 dan 2 turut dimeriahkan dengan pengagihan 1,000 beg cenderamata raya oleh pengurusan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) semalam.
Menurut MAHB, inisiatif itu diteruskan buat kali kedua selepas Tahun Baharu Cina pada Februari lepas dengan objektif memberikan pengalaman ceria kepada setiap penumpang.
-- BERNAMA