AM

246 OBB DI PERLIS DAPAT PEKERJAAN MENERUSI INISIATIF PELUANG KEDUA

28/03/2025 10:01 PM

KANGAR, 28 Mac (Bernama) -- Sebanyak 246 Orang Bebas Berlesen (OBB) di Perlis telah memperoleh pekerjaan menerusi program Inisiatif Peluang Kedua atau dikenali ‘Corporate Smart Internship’ (CSI) sejak Januari lepas sekali gus membantu mereka kembali ke masyarakat dalam keadaan lebih baik.

Pengarah Penjara Perlis Kamarul Zaman Ali Zaman berkata jumlah itu merangkumi 70 individu pada Januari, diikuti 85 orang (Februari) dan meningkat kepada 91 orang (Mac).

“OBB yang terlibat dalam program ini kebanyakan berumur antara 25 hingga 45 tahun dan diberikan peluang pekerjaan mengikut kelayakan mereka. Majikan yang mengambil mereka bukan sahaja dari dalam tetapi juga luar negeri ini.

“Mereka juga mempunyai fleksibiliti untuk pulang ke rumah masing-masing atau meneruskan pekerjaan di tempat sedia ada sekiranya berminat untuk menyambung kontrak selepas tamat tempoh program,” katanya kepada Bernama hari ini.

Kamarul Zaman berkata tempoh program itu mengikut baki hukuman masing-masing dan tidak sama bagi setiap prospek berdasarkan pengiraan tarikh layak Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL).

Beliau berkata di Perlis, semua OBB yang terlibat adalah lelaki dan mereka bekerja dalam pelbagai sektor seperti pertanian, perladangan, kuari serta peruncitan.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan