AM

PENDEKATAN ANWAR REDAKAN KONTROVERSI ISU PERKAUMAN WAJAR DICONTOHI

30/03/2025 09:13 AM

KUALA LUMPUR, 30 Mac (Bernama) – Pendekatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam meredakan beberapa kontroversi berkaitan sensitiviti kaum dan agama sejak kebelakangan ini merupakan model kepimpinan yang wajar dicontohi.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (ASLI) Danial Rahman dalam kenyataan memaklumkan corak kepimpinan yang tenang, komunikasi yang jelas, penyelesaian masalah secara kolaboratif dan kepekaan budaya adalah satu pendekatan yang amat berkesan.

Merujuk kepada isu antara kuil dan masjid baru-baru ini, beliau berkata antaranya langkah mengatasi kekecohan secara tenang dengan memberikan penjelasan sebenar apabila terdapat maklumat palsu tersebar seperti kononnya kerajaan memaksa kuil dipindahkan.

“Anwar dan pasukannya menjelaskan bahawa tanah itu telah dijual pada tahun 2012, jauh sebelum MADANI, (inilah) peranan kerajaan sebagai perantara dan bukannya pencetus (kontroversi).

“Selain itu, daripada hanya mengeluarkan kenyataan rasmi, Perdana Menteri dan pasukannya turut memberikan penjelasan harian mengenai konteks undang-undang, mengakui kelemahan lampau dan memperincikan asas penyelesaian. Menteri Wilayah Persekutuan Dr Zaliha Mustafa juga memainkan peranan penting dalam memastikan isu ini tidak melarat ke mahkamah dan dipuji atas usahanya,” katanya.

Mengulas lanjut, Danial berkata Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif juga turun padang bertemu pihak berkepentingan justeru memperlihatkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) lebih mesra dan responsif.

“Turut serta ialah Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri M. Ramanan serta Ahli Parlimen Batu Prabakaran Parameswaran yang kedua-duanya berbangsa India. Kehadiran mereka bukan simbolik semata-mata tetapi memberi keyakinan bahawa kerajaan ini mewakili semua kaum,” katanya.

Danial berkata kerajaan juga bangkit menangkis maklumat palsu apabila sebahagian besar perbincangan awam diselubungi maklumat yang dimanipulasi secara politik walaupun kebimbangan masyarakat sivil tentang perlindungan tapak warisan dan rumah ibadat adalah sah.

“Naratif berbahaya yang mendakwa bahawa kerajaan tunduk kepada tekanan kuil akan menyebabkan orang Melayu-Islam kelihatan lemah adalah tidak benar dan sangat merbahaya,” katanya.

Beliau berkata ini bukanlah kali pertama Anwar bertindak secara proaktif ketika ketegangan meningkat.

“Selepas insiden sketsa Thaipusam yang menjadi kontroversi oleh tiga penyampai radio, beliau bertemu mereka dalam satu majlis berbuka puasa bersama media. Menurut Setiausaha Akhbarnya Tunku Nashrul, Perdana Menteri menasihatkan mereka untuk 'sentiasa membawa mesej perpaduan selaras dengan semangat MADANI yang menekankan belas ihsan dan penghormatan'.

“Ia mungkin kedengaran mudah, tetapi simbolisme itu penting. Kepimpinan bukan sekadar melibatkan perangkaan dasar atau mengemudi kementerian, tetapi ia menyeru pemimpin untuk turun padang, berhubung terus dengan rakyat dan menghadirkan diri pada waktu-waktu mustahak.

“Pendekatan Anwar yang memudahkan dan menenangkan (menang menang) bukan sesuatu yang mudah dicapai. Adakah usaha beliau kurang dihargai? Mungkin. Hasil yang baik selalunya tidak sensasi untuk media atau TikTok. Tetapi kita tidak harus memperlekehkannya,” katanya.

Beliau berpandangan perpaduan tidak terbina dalam satu saat, sebaliknya ia tercapai melalui amalan hormat yang konsisten, empati seharian, tolak ansur dan kesanggupan untuk memimpin tanpa rasa takut.

Menurut Danial, pendekatan kerajaan MADANI itu mewujudkan satu budaya responsif kerajaan yang amat unik dan dapat memastikan negara terus harmoni.

-- BERNAMA

 

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan