EKONOMI

PERKUKUH KEPUSATAN ASEAN UNTUK TANGANI KEJUTAN TARIF AS – PROFESOR UNIVERSITI SUNWAY

06/04/2025 03:18 PM

Oleh Abdul Hamid A Rahman

KUALA LUMPUR, 6 April (Bernama) -- Di tengah-tengah usaha Amerika Syarikat (AS) membentuk semula sistem perdagangan global untuk manfaatnya sendiri, peranan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN bagi 2025 menjadi kritikal dalam meneraju pertumbuhan seterusnya ekonomi blok itu.

Ketua Institut Kajian Asia Tenggara Jeffrey Cheah, Universiti Sunway, Profesor Shandre Mugan Thangavelu berkata ASEAN berada di persimpangan penting untuk mendukung visi pertumbuhan bersama, kerjasama ekonomi dan integrasi serantau bagi pembangunan mampan.

“Sudah tiba masanya untuk Malaysia, selaku pengerusi, menegakkan prinsip dan pendirian dasar teras ASEAN dalam menangani kejutan tarif yang belum pernah berlaku sebelum ini oleh pentadbiran Presiden AS Donald Trump terhadap ekonomi global secara umumnya, dan khususnya kepada ASEAN.

"Kepimpinan negara dalam menyelaraskan pendirian dasar dan tindak balas akan menjadi penting untuk menangani tarif timbal balik Trump secara strategik dan berkesan," katanya kepada Bernama.

Shandre berkata langkah penting bagi negara anggota ASEAN adalah untuk mengekalkan dan mengukuhkan kepusatan ASEAN melalui visi pertumbuhan bersama.

“Tindak balas individu terhadap tarif timbal balik Trump akan menyerlahkan keperluan untuk mengukuhkan kepusatan ASEAN, khususnya melalui perjanjian perdagangan bebas pelbagai hala seperti Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC),” katanya.

Beliau berkata RCEP, sebagai perjanjian perdagangan bebas terbesar di dunia, menyediakan rangka kerja berasaskan peraturan dan institusi untuk pembangunan ekonomi yang mampan di Asia Timur.

“Sebagai perjanjian 'aktif’, Jawatankuasa Bersama RCEP boleh mengembangkan agenda integrasi serantau untuk menangani isu utama semasa seperti alam sekitar dan perubahan iklim, pembangunan kemahiran, transformasi hijau, dan pembangunan pusat bandar digital dan pintar.

"Dalam rundingan dengan pentadbiran Trump, ciri-ciri institusi RCEP juga boleh menyokong liberalisasi progresif perdagangan serantau dan global dan menangani isu bukan tradisional selain perdagangan dan pelaburan. Penubuhan Sekretariat RCEP penting untuk menyelaraskan usaha ini," katanya.

Menurutnya, rundingan mesti mempertimbangkan teknologi baharu dan baru muncul seperti kecerdasan buatan (AI), robotik, kenderaan elektrik, teknologi autonomi dan teknologi angkasa - bidang yang AS mempunyai kelebihan daya saing dan ASEAN boleh menyediakan akses pasaran yang lebih baik.

“Teknologi ini mewujudkan sektor perkhidmatan baharu dan rantaian nilai global (GVC), membolehkan penyertaan lebih meluas perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam rangkaian pengeluaran serantau dan juga global.

"ASEAN juga harus memupuk firma GVC generasi akan datang yang tangkas dan mampu bergerak ke segmen nilai tambah yang lebih tinggi dalam pembuatan dan perkhidmatan," katanya.

Beliau berkata syarikat domestik perlu memahami cara 'membahagi-bahagikan' struktur pengeluaran mereka - bahagian penting dalam peringkat kedua pembangunan GVC yang melibatkan pembahagian buruh antarabangsa - untuk membina rantaian bekalan yang lebih berdaya tahan dan responsif.

Shandre berkata fasa pertumbuhan ASEAN seterusnya akan didorong oleh ekonomi digital dan hijau, yang turut menyediakan peluang untuk mengurangkan defisit perdagangan AS dengan rantau itu.

Beliau menggesa kerjasama serantau dipertingkatkan untuk membantu syarikat menjalani transformasi struktur melalui teknologi digital dan hijau, sekali gus meningkatkan sumbangan nilai tambah dan penyertaan mereka dalam GVC.

“Syarikat perlu memahami pelepasan karbon aktiviti GVC huluan dan hiliran mereka dan meningkatkan kecekapan alam sekitar mereka melalui rangka kerja seperti ESG – Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus Korporat,” katanya. 

Beliau juga menggesa anggota ASEAN untuk mempercepatkan pelaksanaan Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN, yang disokong semasa kepengerusian Indonesia pada 2023. 

Shandre juga menekankan keperluan menyediakan tenaga buruh mahir yang lebih fleksibel, tangkas, dan dilengkapi untuk menyokong transformasi pengeluaran dan perkhidmatan di rantau ini.

“Rantau ini mesti melabur untuk meningkatkan kemahiran dan menyediakan kemahiran semula kepada pekerja untuk mewujudkan tenaga kerja yang mudah digerakkan dan produktif.

“Selain itu, ASEAN mesti melindungi terutamanya kumpulan rentan ditengah-tengah peningkatan ketidaktentuan dasar ekonomi, kerana tarif Trump dijangka meningkatkan risiko bagi pekerja dan masyarakat berpendapatan rendah,” katanya.

Shandre memberi amaran tarif timbal balik yang dikenakan AS, pada purata 34 peratus dan berbeza-beza di seluruh negara ASEAN, kemungkinan akan membawa kepada lebih banyak rundingan dua hala yang menumpukan kepada kepentingan negara berbanding integrasi serantau.

“Ini secara langsung akan mencabar kepusatan ASEAN dan rangka kerja yang menyokong integrasi serantau dan global kita.

“Kepusatan ASEAN adalah kekuatan rantau ini, dan tataurus negara geoekonomi telah lama menjadi ciri utama dalam menangani cabaran geopolitik dan memupuk matlamat ekonomi bersama,” katanya.

Beliau berkata prinsip ini telah mengukuhkan kerjasama ekonomi ASEAN sejak penubuhannya pada 1967 dan AEC telah memainkan peranan penting dalam mengekalkan pertumbuhan dan kestabilan ekonomi di seluruh rantau ini.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan