JENAYAH & MAHKAMAH

KANAK-KANAK TIGA TAHUN CEDERA TERCAMPAK KELUAR DARI KENDERAAN

08/04/2025 12:42 AM

KUANTAN, 7 April (Bernama) -- Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun cedera di bahagian muka selepas dipercayai tercampak keluar dari sebuah kenderaan di Kilometer 5, Jalan Lipis–Merapoh pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Lipis Supt Ismail Man berkata dalam kejadian kira-kira 11 pagi itu, mangsa yang berada di kerusi penumpang belakang kenderaan Proton Iswara Aeroback yang dipandu bapanya sedang dalam perjalanan dari Kampung Tempoyang untuk pulang ke rumahnya di Kampung Berembang. 

"Siasatan awal mendapati kanak-kanak terbabit terjatuh dari kenderaan melalui tingkap belakang di sebelah kiri yang terbuka … ketika itu, pemandu yang berumur 36 tahun memberhentikan kenderaan untuk menjawab panggilan telefon.

“Bagaimanapun, bapanya tidak sedar insiden terbabit dan meneruskan perjalanan sehingga di Kilometer 7 Jalan Lipis–Merapoh, kemudian dia menyedari anaknya tiada di dalam kenderaan. Pemandu cuba mencari, tetapi gagal lalu membuat laporan polis di Kuala Lipis,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata anak pemandu itu dijumpai seorang diri oleh orang awam yang melalui jalan berkenaan dalam keadaan cedera pada bahagian muka dan telah membawanya ke balai polis Padang Tengku sebelum menerima rawatan di Hospital Kuala Lipis. 

Ismail berkata kes disiasat di bawah Seksyen 337 Kanun Keseksaan dan turut memohon kerjasama mana-mana pihak yang melihat kejadian itu untuk tampil bagi membantu siasatan. 

“Pihak polis menasihati semua pengguna jalan raya agar sentiasa memandu kenderaan secara berhati-hati dan berhemah serta memastikan kenderaan yang dipandu diselenggara dengan baik dan selamat,” katanya. 

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan