JENAYAH & MAHKAMAH

LELAKI WARGA INDIA HILANG DI PULAU MAWAR DITEMUKAN LEMAS

08/04/2025 01:04 AM

MERSING, 7 April (Bernama) -- Seorang lelaki warga India yang dilaporkan hilang ketika mandi di Pulau Mawar di sini bersama rakan-rakannya ditemukan lemas petang tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Endau Penolong Penguasa Bomba Mohd Alias Hussin berkata Narayanan Ravi, 45, ditemukan pada jarak 300 meter dari lokasi dia dipercayai lemas pada pukul 4.50 petang.

"Mangsa telah ditemukan oleh Pasukan Keluaran Operasi (PKO) yang kemudiannya bertindak menggunakan seunit tali bagi menarik mangsa ke darat," katanya dalam kenyataan malam ini.

Terdahulu, media melaporkan seorang lelaki warga Singapura Yogaraj Veeran, 37, ditemukan lemas dan telah dibawa ke pesisir pantai oleh orang awam, sementara seorang lelaki tempatan K Anpananthan, 39, berjaya menyelamatkan diri.

Mohd Alias berkata pihak bomba menerima maklumat berhubung kejadian itu pada 2.37 petang sebelum sebuah jentera Light Fire Rescue Tender dan sebuah Toyota Hilux dengan kekuatan tujuh anggota digegaskan ke lokasi kejadian.

"Mayat kedua-dua mangsa yang datang dari Johor Bahru telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," tambahnya. 

Beliau berkata operasi ditamatkan sepenuhnya pada 6.21 petang. 

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan