GEORGE TOWN, 7 April (Bernama) -- Lilitan akar pokok reput dan lemah serta faktor tanah lembik akibat hujan dipercayai punca bongkah batu menggelongsor di Jalan Paya Terubong pada Jumaat lepas, yang mengakibatkan seorang penunggang motosikal warga asing maut terkena batu bersaiz 0.45 x 0.36 meter.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital Pulau Pinang Zairil Khir Johari berkata dapatan itu diperoleh daripada kajian teknikal Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri melalui syarikat pakar keselamatan cerun Pintas Utama Sdn Bhd (PUSB) dan Jabatan Kejuruteraan (Geotech) Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) di lokasi kejadian.
Beliau berkata pihaknya telah mengarahkan JKR dan MBPP untuk melakukan siasatan terperinci di kawasan kemalangan bagi mengetahui punca pergerakan batu dan kajian kestabilan cerun sebaik menerima laporan awal mengenai kejadian terbabit.
“Hasil kajian turut mendapati bongkah batu itu dipercayai bergolek dari permukaan cerun dan berlanggar dengan bongkah lain di longkang bahu jalan sebelum sepenuhnya jatuh di permukaan jalan.
“Berdasarkan kesan batu pecah dan kedudukan mangsa, mangsa disyaki berlanggar dengan batu yang telah jatuh lebih awal. Bukan dihempap batu seperti yang dilaporkan,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Sebagai langkah keselamatan Zairil berkata JKR Pulau Pinang melaksanakan Pelan Pengurusan Trafik (TMP) dengan memasang papan tanda amaran batu jatuh di sepanjang lokasi.
Selain itu, kanvas turut dipasang untuk mengelak batu dari terjatuh terus ke jalan raya sebagai penyelesaian jangka masa pendek manakala pelan mitigasi jangka masa panjang sedang diperhalusi di peringkat jabatan.
Justeru, beliau menasihati pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati ketika menggunakan jalan itu.
Terdahulu, media melaporkan seorang buruh binaan warga Bangladesh maut apabila motosikal ditunggangi terbabas selepas terkena bongkah batu yang dipercayai terjatuh dari lereng bukit di Jalan Paya Terubong arah ke Farlim dalam kejadian pada Jumaat lepas.
Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut Supt Lee Swee Sake berkata siasatan mendapati kejadian berlaku pada 12.45 tengah malam dan sebaik tiba di Jalan Paya Terubong, objek disyaki batu bersaiz 0.5 m dengan anggaran 50 kilogram (kg) tiba-tiba jatuh dari lereng bukit.
-- BERNAMA