Oleh Siti Baaqiah Mamat
KUALA LUMPUR, 8 April (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual menyampaikan ucaptama dan melancarkan Panduan Pendedahan ESG Dipermudah ASEAN (SEDG ASEAN) bagi PKS dalam Rantaian Bekalan Versi 1, hari ini.
Acara itu diadakan sempena Persidangan Pelaburan ASEAN 2025: Perbincangan Panel dan Pameran, yang merupakan acara sampingan bagi hari kedua Mesyuarat Menteri-Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat ASEAN (AFMGM) ke-12 serta mesyuarat berkaitan, yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini.
Panduan itu penting kerana menggabungkan dan mempermudah banyak rangka kerja alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) global dan tempatan yang kompleks untuk meningkatkan ketersediaan data dan maklumat ESG oleh PKS.
Anwar, selaku Menteri Kewangan juga akan mempengerusikan ‘Meja Bulat Pelabur mengenai Menjajarkan Agenda Pertumbuhan ASEAN dengan Trend Pelaburan Global’ pada sebelah pagi, yang turut akan dihadiri Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Secara berasingan, Amir Hamzah akan menyertai Dialog Menteri dalam Persidangan Pelaburan ASEAN 2025 sebagai panel, bersama Menteri Pengangkutan dan Menteri Kewangan Kedua Singapura Chee Hong Tat, serta Timbalan Menteri Kewangan Indonesia, Thomas Djiwandono.
Selepas dialog tersebut, beliau akan merasmikan ‘Cabaran Pelaburan dan Dagangan Saham Pecahan ASEAN’ serta menyampaikan ucapan alu-aluan pada ‘Perbincangan Panel: Negara yang Mencipta Melalui Pemangkin Ekosistem’ anjuran Khazanah.
Dagangan saham pecahan akan membolehkan dagangan saham di Bursa Malaysia menjadi lebih mudah diakses, mampu milik, dan inklusif untuk pelabur runcit, terutama bagi kalangan pelabur muda.
Acara hari ini juga termasuk ‘Mesyuarat Tiga Hala antara China, Jepun, dan Korea Selatan’ yang dijadualkan pada pukul 7.30 pagi, menandakan mesyuarat kedua bagi ketiga-tiga negara itu selepas mesyuarat menteri perdagangan yang diadakan pada Mac di Seoul, Korea Selatan.
Semasa mesyuarat di Seoul, Jepun, Korea Selatan, dan China telah menyuarakan persetujuan untuk meneruskan kerjasama ekonomi dan perdagangan tiga hala bagi mengatasi ‘cabaran yang muncul’ -- satu perkongsian yang kini menjadi lebih penting berikutan tindakan Amerika Syarikat (AS) yang mengenakan tarif membebankan termasuk ke atas ketiga-tiga negara itu dan memulakan perang perdagangan global.
Ketiga-tiga negara itu juga bersetuju untuk mempercepat rundingan mengenai perjanjian perdagangan bebas (FTA) walaupun kemajuan ketara berkaitannya masih belum dapat direalisasikan.
Kalangan pegawai kanan dari Asia Tenggara, China, Korea Selatan dan Jepun -- secara kolektif dikenali sebagai ASEAN+3 -- juga akan mengadakan mesyuarat pada AFMGM.
Mesyuarat Timbalan Kewangan dan Bank Pusat ASEAN+3 (AFCDM+3), yang dipengerusikan bersama oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican dan Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Marzunisham Omar juga akan menjadi sebahagian daripada mesyuarat yang berlangsung hari ini.
Kementerian Kewangan pula akan menganjurkan majlis makan malam alu-aluan pada pukul 8 malam.
Sepanjang empat hari ini, 14 mesyuarat akan diadakan, termasuk perbincangan peringkat tinggi dengan Majlis Perniagaan ASEAN-AS, ASEAN-Kesatuan Eropah dan Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ABAC).
Lebih 300 perwakilan merangkumi kalangan menteri kewangan, gabenor bank pusat, institusi kewangan antarabangsa dan wakil sektor swasta ASEAN dijangka menghadiri AFMGM dan mesyuarat berkaitan, persidangan pelaburan serta pameran.
-- BERNAMA