Oleh Shaidathul Suhana Ros
JOHOR BAHRU, 8 April (Bernama) -- Kanak-kanak yang baru sahaja belajar memberus gigi cenderung untuk menelan ubat gigi kerana ia dihasilkan dengan pelbagai variasi rasa namun ubat gigi dengan fluorida jika tertelan dalam kuantiti banyak boleh memberi kesan sampingan.
Sehubungan itu, sekumpulan penyelidik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mengorak langkah menghasilkan produk ubat gigi mesra kanak-kanak tanpa fluorida berasaskan nanas dikenali sebagai ‘AnanaShine’.
Pengarah Institut Pembangunan Bioproduk (IBD) Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Kejuruteraan Tenaga UTM Prof Madya Dr Rosnani Hasham@Hisam berkata penghasilan produk itu memanfaatkan sumber semula jadi yang banyak di Johor sekali gus mengurangkan pembaziran nanas.
Rosnani yang juga ketua penyelidik projek berkata nanas dipilih kerana keunikan komposisinya yang mengandungi bromelain bertindak sebagai enzim proteolitik, membantu menguraikan plak dan sisa protein serta lebih lembut pada enamel gigi.
“Nanas juga kaya dengan antioksidan dan asid malik yang menyumbang kepada pemutihan gigi secara semula jadi,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di IBD UTM di sini baru-baru ini.
Rosnani berkata fluorida sering digunakan dalam ubat gigi komersial kerana sifat pemutihan dan pencegahan kaviti namun ia boleh memberi kesan sampingan seperti fluorosis sekiranya tertelan dalam kuantiti yang banyak oleh kanak-kanak.
Menjelas lanjut, Rosnani berkata AnanaShine direka khas sebagai bahan boleh dimakan atau 'edible' menjadikannya selamat jika kanak-kanak tertelan selain turut mengandungi sorbitol dan gliserin sebagai agen pemanis berfungsi mengekalkan kelembapan pada bibir dan permukaan mulut.
Beliau berkata hampir 100 peratus daripada nanas bermula di bahagian jambul sehingga isinya diekstrak bagi menghasilkan produk yang mengambil tempoh masa kajian selama 10 tahun untuk dikomersilkan.
“Produk ini mengguna pakai semua jenis gred nanas kerana enzim yang diekstrak daripada tanaman kontan itu mempunyai kualiti sama dan menepati piawaian dimahukan. Ini membolehkan tanaman nanas digunakan secara menyeluruh untuk penghasilan AnanaShine.
“Bagi memastikan ubat gigi ini berjaya menarik golongan sasar iaitu kanak-kanak untuk menggunakannya, kami menambah perisa berasaskan ekstrak jus nanas. Hasilnya produk ini menepati piawaian keselamatan oral termasuk Amalan Pengilangan Yang Baik (GMP) ditetapkan Kementerian Kesihatan,” katanya.
Beliau berkata produk yang baru berusia beberapa bulan itu telah merangkul pingat perak dalam Pameran Seni Industri dan Teknologi (INATEX) 2024 yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada di sini pada Oktober tahun lepas.
Sementara itu, Rosnani berkata kumpulan penyelidik UTM bersama Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) sedang giat mencari pemain industri untuk dijadikan sebagai rakan kerjasama strategik bagi memasarkan AnanaShine secara lebih meluas.
“Produk ini menyasarkan satu niche market iaitu golongan ibu bapa yang mengutamakan produk penjagaan diri dengan mementingkan aspek kesihatan pengguna, apatah lagi untuk anak-anak mereka,” katanya yang berpengalaman lebih 20 tahun dalam pembangunan produk berasaskan tumbuhan.
Pada 20 Feb lepas, Pengerusi LPNM Sheikh Umar Bagharib Ali dilapor berkata Johor ialah pengeluar nanas terbesar negara dengan 10,366.6 hektar daripada keseluruhan 18,275.71 hektar keluasan tanaman nanas nasional terletak di negeri ini.
Sheikh Umar berkata Johor menyumbang kepada 63.7 peratus pengeluaran nanas tempatan iaitu 280,878 metrik tan daripada keseluruhan 440,848.5 metrik tan pengeluaran negara dengan nilai RM682.53 juta.
-- BERNAMA