AM

RAJA PERMAISURI AGONG SERU MASYARAKAT TIDAK LUPAKAN GOLONGAN DITIMPA MUSIBAH

09/04/2025 09:42 PM

JOHOR BAHRU, 9 April (Bernama) -- Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah menyeru masyarakat supaya tidak melupakan mereka yang ditimpa musibah ketika menyambut Aidilfitri.

Seri Paduka Baginda bertitah dengan adanya media sosial, ia amat membantu masyarakat untuk cakna tentang konflik serta penderitaan dialami oleh masyarakat di negara lain.

“Kebanyakan daripada kita amat bertuah kerana dapat menyambut Aidilfitri dengan meriah dan gembira, namun janganlah kita melupakan mereka yang tidak mempunyai makanan dan minuman mencukupi.

“Dengan adanya media sosial, ia amat membantu untuk mengetahui tentang apa sedang berlaku di sekeliling kita dengan lebih pantas,” titah Raja Zarith Sofiah menerusi hantaran di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Seri Paduka Baginda bertitah ketika berangkat ke Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama pelajar antarabangsa Universiti Teknologi Malaysia (UTM) kampus Johor Bahru, hari ini.

Raja Zarith Sofiah turut menyeru rakyat Malaysia agar menerima kedatangan pelajar antarabangsa dan menjadikan mereka sebahagian daripada keluarga UTM.

"Sebagai seorang yang pernah menuntut ilmu di luar negara, saya amat memahami perasaan kesunyian dan asing apabila jauh daripada keluarga. Majlis hari ini antara usaha saya untuk meraikan mereka menyambut Aidilfitri," titah Seri Paduka Baginda.

Berangkat sama Che Puan Mahkota Khaleeda Johor yang juga Pro-Canselor UTM dan Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim.

Sebanyak 120 pelajar antarabangsa daripada pelbagai negara dijemput ke majlis yang diadakan di Dewan Bankuet, Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim UTM di sini.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan