AM

NARATIF BERPAKSIKAN RAKYAT KUNCI KEPADA HUBUNGAN ASEAN-CHINA YANG KUKUH - FAHMI

11/04/2025 11:39 AM

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Perkongsian strategik antara ASEAN dan China dalam sektor media mesti melangkaui infrastruktur dan perdagangan, dengan mengetengahkan lebih banyak naratif berpaksikan rakyat dalam laporan masing-masing, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

Beliau berkata semasa kerajaan dan institusi memberi tumpuan kepada diplomasi, media memainkan peranan penting dalam membentuk persepsi awam dan memupuk persefahaman yang lebih mendalam dalam kalangan rakyat.

Fahmi berkata kepelbagaian di ASEAN dan China, yang keseluruhan populasinya berjumlah lebih dua bilion, adalah kekuatan yang harus lebih diketengahkan oleh media untuk mempromosikan nilai bersama.

“Semasa kerajaan dan institusi bekerjasama dalam infrastruktur dan perdagangan, media juga mesti mengetengahkan kisah-kisah persahabatan merentasi budaya, pertukaran akademik, kerjasama belia, dan daya tahan komuniti, yang memberi kehidupan kepada perkongsian serantau kita,” katanya semasa berucap di Forum Media dan Kumpulan Pemikir ASEAN-China 2025 di sini hari ini. 

Forum anjuran bersama Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Agensi Berita Xinhua itu dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, Pengerusi Bernama Datuk Seri Wong Chun Wai, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin, dan Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj turut hadir.

Hadir sama Ketua Pengarang Agensi Berita Xinhua Lyu Yansong.

Acara itu menarik kehadiran lebih 200 peserta daripada pemimpin media utama, pegawai kanan kerajaan, dan pakar dari seluruh rantau ASEAN dan China, untuk meningkatkan penglibatan dalam landskap media yang sentiasa berkembang.

Fahmi berkata bagi mengukuhkan kerjasama media antara ASEAN dan China, petugas media, termasuk wartawan, editor dan pencipta kandungan, mesti diperkasakan dengan kemahiran serta peralatan yang diperlukan mereka untuk mengemudi persekitaran digital yang kompleks hari ini dengan profesionalisme dan bermatlamat.

Beliau berkata semasa teknologi terus mengubah industri media, pemain utama mesti memastikan inovasi boleh diakses dan inklusif, terutamanya bagi komuniti di kawasan terpencil dan kurang mendapat liputan.

"Saya amat gembira melihat kerjasama yang semakin meningkat antara ASEAN dan China dalam pembangunan media digital, termasuk pengeluaran berita bersama, perkongsian kandungan, dan sokongan teknikal dalam bidang baru muncul seperti kewartawanan data dan penyiaran digital rentas sempadan," katanya.

Beliau berkata inisiatif sedemikian juga penting untuk menegakkan ketepatan, akauntabiliti dan integriti untuk memerangi naratif palsu.

"Sebab itu forum sebegini sangat penting. Ia membolehkan kita mengukuhkan kerjasama serantau dalam pertukaran maklumat, latihan kewartawanan, etika media, dan pembinaan kapasiti komunikasi digital,” katanya.

Fahmi berkata Malaysia bersedia untuk menyokong inisiatif yang menggalakkan pembangunan media, memudahkan dialog, dan memanfaatkan potensi inovasi digital untuk kebaikan yang lebih besar di rantau sini.

Beliau seterusnya memuji Bernama dan Xinhua kerana menjadi hos bersama forum itu, dan menganggap ia sebagai satu langkah penting ke hadapan dalam mencerminkan matlamat bersama yang menggalakkan kecemerlangan profesional serta menyumbang ke arah kesejahteraan serantau dan global.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan