TAPAH, 13 April (Bernama) -- Kerajaan bersikap terbuka untuk meneliti sebarang cadangan bagi menambah baik undang-undang sedia ada, termasuk yang melibatkan proses pelantikan Ketua Hakim Negara, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.
Fahmi, yang juga Jurucakap Kerajaan berkata kerajaan mengambil maklum pandangan yang dikemukakan oleh pelbagai pihak, termasuk berkaitan peranan Perdana Menteri dalam proses pelantikan berkenaan.
“Kerajaan terbuka menerima pelbagai pandangan mengenai cara-cara menambah baik undang-undang yang ada ketika ini, sama ada berkaitan Jawatankuasa Pelantikan Kehakiman (JAC) atau lain-lain aspek berkaitan.
“Kabinet juga mengambil maklum bahawa terdapat satu kes mahkamah telah difailkan untuk mencabar kesahihan Akta JAC itu sendiri. Maka, Kabinet akan meneliti perkara tersebut,” katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Air Kuning di sini, hari ini.
Fahmi diminta mengulas mengenai ucapan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat pada Persidangan Undang-Undang Komanwel ke-24 di Malta baru-baru ini, supaya Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 (Akta SPK) dipinda untuk menghapuskan peranan Perdana Menteri menasihati Yang di-Pertuan Agong dalam pelantikan hakim.
Menurut Tengku Maimun, langkah itu boleh membantu mengikis persepsi wujudnya pengaruh politik terhadap badan kehakiman.
Fahmi berkata sejak Kerajaan MADANI mengambil alih pentadbiran, lebih 80 undang-undang telah dibentangkan di Parlimen sama ada untuk pindaan atau penggubalan baharu, sekali gus mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkukuh institusi dan sistem demokrasi negara.
Turut serta dalam lawatan itu ialah Exco Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Perak Mohd Azlan Helmi dan Calon Barisan Nasional Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning Dr Mohamad Yusri Bakir.
-- BERNAMA