TAPAH, 12 April (Bernama) -- Timbalan Pengerusi DAP Nga Kor Ming menyifatkan tindakan penyokong Perikatan Nasional (PN) menggunakan karikatur yang seolah-olah menyindir Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung DAP Anthony Loke, sebagai tidak matang dan tidak wajar.
Beliau yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata tindakan berunsur sindiran yang berniat jahat seperti itu tidak memberi sebarang nilai tambah kepada pembangunan negara, malah dilihat cuba memesongkan tumpuan rakyat daripada isu sebenar yang perlu diberi perhatian.
Nga berkata Malaysia memerlukan landskap politik yang membina, bukannya membinasa.
“Perdebatan politik harus berteraskan dasar, pelan pembangunan serta cadangan penambahbaikan, bukannya mempermainkan individu dengan cara yang kebudak-budakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Media hari ini melaporkan sekumpulan penyokong parti yang hadir bagi proses penamaan calon PRK DUN Ayer Kuning di Dewan Merdeka di sini membawa sepanduk yang menampilkan kata-kata serta karikatur yang seolah-olah menyindir pemimpin kerajaan.
PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian penyandangnya Ishsam Shahruddin, 58, pada 22 Feb lepas akibat serangan jantung, dengan hari pengundian ditetapkan pada 26 April ini.
Ia menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Setiausaha UMNO Bahagian Tapah Dr Mohamad Yusri Bakir, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tapah Abd Muhaimin Malek dan Timbalan Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM) Bawani KS.
Sementara itu, Presiden Amanah Datuk Seri Mohamad Sabu berkata semua pihak boleh mengkritik kerajaan namun bukan dengan menabur fitnah.
“Kalau mengkritik kelemahan kerajaan, di mana yang patut dan tidak patut dibuat, itu biasa dalam politik. Cuma elakkan fitnah...saya pun pembangkang dulu, biasa (mengkritik kerajaan),” katanya kepada pemberita selepas melancarkan jentera pilihan raya Amanah PRK DUN Ayer Kuning di Tanjung Keramat di sini.
Sehubungan itu, beliau menasihati pembangkang supaya menjaga batasan dalam berpolitik bagi mengelak tindakan saman.
-- BERNAMA