AM

HUBUNGAN ANTARA KAUM BAIK, SALING MENGHORMATI - PM ANWAR

12/04/2025 06:45 PM

BUTTERWORTH, 12 April (Bernama) -- Hubungan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum di negara ini baik dan saling menghormati, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Berucap pada Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2025 Pulau Pinang, beliau berkata ia dibuktikan menerusi acara yang dianjurkan kerajaan itu apabila semua kaum tanpa mengira bangsa dan agama duduk semeja meraikannya dalam suasana yang aman serta harmoni.

“Dalam semua majlis ini, sambutan rakyat baik orang Islam bersama dengan orang Cina, orang India, orang Asli turut merayakan dalam keadaan yang sangat aman, dengan penuh rasa kasih sayang dan hormat-menghormati…Tahniah rakyat Malaysia semua.

“Ini membuktikan bahawa di peringkat rakyat keadaan itu baik, hubungan kaum baik. Saya dibesarkan di Bukit Mertajam. Kawasan itu pelbagai kaum, tidak ada ketegangan,” katanya di Pusat Konvensyen PICCA @Arena Butterworth di sini hari ini.

Anwar berkata masalah tercetus apabila terdapat segelintir tokoh politik yang cuba mencetuskan ketegangan menerusi hasutan dengan niat mahu menimbulkan rasa kebencian kaum dalam kalangan rakyat.

“(Sedangkan) kalau kita tengok hari ini berapa ribu orang Melayu, berapa ribu orang Cina, berapa ribu orang India makan satu meja dan tidak ada rasa iri hati atau permusuhan,” katanya.

Sehubungan itu, Anwar meminta rakyat supaya melihat kepentingan dan kekuatan yang dimiliki Malaysia kerana tidak banyak negara yang dihuni pelbagai kaum mampu mengatasi rekod perpaduan seperti di negara ini.

Perdana Menteri berkata Pulau Pinang umpamanya boleh dijadikan contoh sebagai sebuah negeri dengan pelbagai kaum yang hidup dalam suasana harmoni.

Dalam pada itu, beliau meminta rakyat agar bersatu padu dan berpakat menumpukan pada pembangunan negara sekali gus menjadikan Malaysia hebat di persada dunia.

Majlis yang dimeriahkan dengan lebih 10,000 pengunjung itu turut dihadiri Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, Menteri Sumber Manusia Steven Sim, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow dan barisan kepimpinan negeri.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan