PUTRAJAYA, 14 April (Bernama) -- Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar mewakili anggota Perkhidmatan Awam merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Perdana Menteri kelima Tun Abdullah Ahmad Badawi yang meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) malam ini.
Dalam catatan di laman Facebook rasmi, Shamsul Azri berkata negara kehilangan seorang negarawan yang amat besar jasa baktinya serta banyak mencurahkan budi dan pengorbanan sepanjang memimpin negara.
“Apatah lagi Allahyarham Tun juga merupakan bekas seorang penjawat awam yang cukup dekat di hati anggota perkhidmatan awam,” katanya.
Abdullah meninggal dunia pada usia 85 tahun di IJN pada 7.10 malam dan perkara itu disahkan oleh menantunya Khairy Jamaluddin melalui hantaran di Instagram.
Dilahirkan pada 26 Nov 1939 di Bayan Lepas, Pulau Pinang, Abdullah menjadi Perdana Menteri dari 31 Okt 2003 hingga 3 April 2009, berikutan peletakan jawatan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.
-- BERNAMA