KUALA LUMPUR, 14 April (Bernama) -- Pemergian Tun Abdullah Ahmad Badawi satu kehilangan besar kepada negara dan jasanya akan sentiasa dikenang segenap lapisan masyarakat.
Menerusi catatan di Facebook, Ketua Menteri dan Menteri Besar merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham atas berita yang mendukacitakan itu.
Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata perdana menteri kelima itu yang mesra disapa dengan panggilan Pak Lah akan terus diingati sebagai pemimpin yang sederhana.
"Secara peribadi, saya cukup terkesan dengan pemergian tokoh negarawan ini yang saya sifatkan ketokohannya meninggalkan impak buat parti UMNO, khususnya rakyat Malaysia dan negara amnya.
"Era kepimpinan “Pak Lah” sebagai Bapa Pembangunan Modal Insan serta Islam Hadhari akan terus diingati sebagai pemimpin yang sederhana dan dikenang oleh setiap rakyat Malaysia. Melaka berdukacita dengan berita pemergian tokoh negarawan ini," katanya.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari mendoakan semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang beriman.
“Pemergian Pak Lah satu kehilangan besar buat kita semua. Moga Allah SWT menempatkan roh beliau di dalam kalangan mereka yang beriman, insya-Allah,” katanya.
Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli berkata antara sumbangan besar yang ditinggalkan Abdullah ialah penubuhan Pembangunan Lima Koridor Ekonomi terutama Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) semasa kepimpinan beliau.
"Sehingga kini, koridor berkenaan memainkan peranan penting dalam merancakkan ekonomi setempat di samping menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara," katanya.
Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail turut mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham dan mendoakan semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman.
Sementara itu, Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata Abdullah akan dikenang sebagai seorang tokoh yang tenang, berhemah dan membawa pendekatan kesederhanaan dalam pentadbirannya.
“Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh beliau, diampunkan segala dosanya, diterima segala amal solehnya dan ditempatkan dalam kalangan hamba-hambaNya yang beriman dan beramal soleh,” kata Abdul Hadi.
Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam kenyataan berkata Allahyarham akan kekal dalam catatan sejarah negara dan memori rakyat sebagai pemimpin yang berwibawa, jujur, budiman, berjasa dan dihormati oleh semua.
“Semoga Allah SWT mencucuri rahmat dan keampunanNya ke atas roh Allahyarham serta menempatkan beliau dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh.
“PAS juga mengucapkan takziah kepada sanak saudara dan keluarga Allahyarham, selain mendoakan agar mereka tabah dan sabar pada waktu suram seperti ini,” katanya.
Tun Abdullah, 85, meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) di sini pada 7.10 malam ini.
Dilahirkan pada 26 Nov 1939 di Bayan Lepas, Pulau Pinang, Abdullah menjadi Perdana Menteri dari 31 Okt 2003 hingga 3 April 2009, berikutan peletakan jawatan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.
Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham dan menyifatkannya sebagai pemimpin yang penuh integriti, ikhlas serta visi yang mendalam untuk kemajuan negara.
“Jasa Allahyarham Pak Lah akan terus dikenang dan dihargai. Salam takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham dan semoga Allah SWT menempatkan roh Allahyarham dalam kalangan orang-orang yang beriman. Al-Fatihah,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud yang mewakili kerajaan negeri, turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham atas jasa terlalu besar yang dicurahkan kepada negara ketika menjadi Perdana Menteri kelima.
“Marilah kita doakan agar Almarhum Tun Abdullah Ahmad Badawi dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan hamba-Nya yang beriman serta beramal soleh,” katanya.
Bagi Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Abdullah merupakan seorang negarawan ulung yang banyak berjasa kepada negara dan dikenang sebagai pemimpin berjiwa rakyat, berhemah tinggi dan disanjung sebagai Bapa Pembangunan Modal Insan Malaysia.
“Di bawah pentadbiran beliau juga, selain pembangunan modal insan, pengukuhan integriti dalam tadbir urus serta ketelusan dalam institusi kerajaan diberi keutamaan.
“Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh,” katanya.
Turut menzahirkan ucapan takziah ialah Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
-- BERNAMA