AM

ABDULLAH PEMIMPIN MERENDAH DIRI, TIDAK SUKA CERITA KEBURUKAN ORANG - ANNUAR

15/04/2025 12:40 AM

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Perdana Menteri kelima Tun Abdullah Ahmad Badawi seorang pemimpin yang merendah diri, mudah mesra, ikhlas, jujur dan tidak suka bercerita keburukan orang lain.

Bekas pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Tan Sri Mohd Annuar Zaini berkata Allahyarham yang mesra dengan panggilan Pak Lah berupaya membuat orang selesa untuk bercakap dengannya. 

Beliau berkata pertemuan pertamanya dengan Allahyarham ialah ketika Perdana Menteri kelima itu menjadi pengarah belia dan beliau bergelar pemimpin pelajar dalam Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS).

“Saya pernah diamanahkan oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi untuk memimpin Bernama sebagai Pengerusi, tetapi Abdullah Badawi ini saya kenal daripada saya seorang pelajar. Pertama kali saya bertemu dengan Abdullah Badawi sewaktu nama dia ‘Encik Lah Badawi’.

“Saya melihat dia seorang yang sangat merendah diri. Dia membuat orang selesa untuk bercakap dan berbual dengan dia dan dia mengangkat taraf orang yang berada di depan dia setaraf dengan dia membuatkan kita rasa selesa untuk bercakap apa saja dengan bebas," katanya ketika dihubungi rancangan Ruang Bicara terbitan Bernama TV, malam tadi.

Mohd Annuar yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak berkata sepanjang pengalamannya bekerja dengan Allahyarham, beliau mendapati Pak Lah tidak suka kepada konflik, perselisihan atau pergaduhan.

Sebaliknya, Allahyarham akan cuba mencari jalan tengah untuk mendamaikan orang yang berselisih faham, katanya.

“Saya lihat Tun Abdullah sentiasa merasakan dirinya sebagai seorang hamba Allah. Apa juga tanggungjawab yang diberi, dia memikul sebagai satu amanah dan dia cukup bimbang, apa juga yang dia lakukan.

“Bagaimana dia nak menghadapi Allah S.W.T di padang mahsyar. Oleh kerana itu, dia sangat bimbang kalau dia melakukan apa-apa yang ada unsur menganiaya atau tersalah membuat keputusan yang membuat dia menanggung satu beban, bukan di dunia sahaja, tapi di akhirat nanti. 

“Jadi jiwa keagamaan, kehambaan dan ketuhanan itu sangat tinggi. Tanggungjawabnya kepada Allah pada saya itu satu nilai yang cukup murni. Ketakutannya itu kepada Allah mengatasi ketakutannya kepada perkara-perkara lain,” katanya.

Abdullah meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada pukul 7.10 malam tadi.

-- BERNAMA 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan