KUALA TERENGGANU, 15 April (Bernama) -- Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu hari ini menyedekahkan al-Fatihah dan bertafakur sebentar bagi menghormati serta memperingati Perdana Menteri kelima Tun Abdullah Ahmad Badawi yang meninggal dunia petang semalam.
Yang Dipertua DUN Terengganu Datuk Mohd Nor Hamzah berkata Allahyarham yang menerajui negara dari 2003 hingga 2009 dikenang sebagai pemimpin berjiwa tenang, merendah diri dan sentiasa menjunjung prinsip integriti, kesederhanaan serta amanah dalam pentadbiran negara.
“Kepimpinan Allahyarham Tun Abdullah turut meninggalkan kesan yang signifikan kepada Terengganu, khususnya dalam memperkukuh hubungan antara kerajaan Persekutuan dan negeri termasuk dari aspek pembangunan infrastruktur dan pendidikan.
“Sumbangan Allahyarham dalam menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan awam, memperluas ruang dialog antara rakyat dan kerajaan serta menekankan ketelusan dalam urus tadbir telah memberi manfaat kepada seluruh rakyat, termasuk warga pentadbiran dan masyarakat di Terengganu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan pembukaan Mesyuarat Pertama, Penggal Persidangan Ketiga DUN ke-15, di Wisma Darul Iman di sini hari ini.
Mohd Nor berkata sebagai tokoh negarawan yang dihormati, jasa dan sumbangan Allahyarham dalam membentuk landskap politik serta memperkukuh tadbir urus negara akan terus dikenang dan menjadi teladan buat generasi akan datang.
“Marilah kita sama-sama mendoakan semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan para solihin,” katanya.
Abdullah, 85, menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) di sini pada 7.10 malam tadi.
Dilahirkan pada 26 Nov 1939 di Bayan Lepas, Abdullah yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas dari 1978 hingga 2008 menjawat jawatan Perdana Menteri dari 31 Okt 2003 hingga 3 April 2009.
-- BERNAMA