SHAH ALAM, 15 April (Bernama) -- Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin, berkenan menzahirkan rasa sedih dan dukacita atas pemergian bekas Perdana Menteri kelima Tun Abdullah Ahmad Badawi, semalam.
Baginda berdua turut berkenan menyampaikan perutusan takziah kepada seluruh waris dan keluarga Allahyarham, khususnya balu Allahyarham Tun Jeanne Abdullah.
Sultan Sharafuddin yang mengenali Abdullah sejak lewat 1960-an menyifatkan Allahyarham sebagai seorang negarawan yang berdedikasi dan tenang, serta diingati sebagai seorang pemimpin yang amat mementingkan kesejahteraan rakyat.
"Atas jasa dan bakti Allahyarham, Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah telah mengurniakan beliau Darjah Kebesaran Dato’ Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (D.S.S.A.) pada 1992 dan Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S.) pada 2000,” menurut kenyataan dalam hantaran di laman Facebook Selangor Royal Office.
Baginda berdua turut mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat Allah SWT serta ditempatkan dalam kalangan para solihin.
Hantaran berkenaan turut disertakan dua keping gambar yang merakamkan Tun Abdullah ketika menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri menghadap Sultan Sharafuddin selaku Pemangku Raja Selangor di Istana Mestika, serta gambar dirakam di Istana Alam Shah pada 2003 semasa Istiadat Pertabalan dan Kemahkotaan Sultan Selangor.
Allahyarham Tun Abdullah yang lebih dikenali sebagai Pak Lah meninggal dunia pada usia 85 tahun, pukul 7.10 malam tadi di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.
-- BERNAMA