AM

PEMERGIAN TUN ABDULLAH SATU KEHILANGAN BESAR BUAT NEGARA - LEE

15/04/2025 12:55 PM

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Pemergian bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi merupakan satu kehilangan besar kepada negara seorang pemimpin yang berintegriti, merendah diri dan bijaksana, kata Pengerusi Perikatan Komuniti Selamat Tan Sri Lee Lam Thye.

Dalam kenyataan di sini hari ini, Lee memuji Abdullah yang lebih dikenali sebagai Pak Lah, atas kepimpinan beliau semasa menjadi Perdana Menteri dari 2003 hingga 2009, yang memperjuangkan perpaduan negara, tadbir urus baik, dan pembangunan sosioekonomi melalui rangka kerja Islam Hadhari yang menekankan nilai progresif dan inklusif.

"Sifatnya yang lemah lembut dan dedikasinya terhadap perkhidmatan awam memberikannya penghormatan amat tinggi, meninggalkan kesan yang tidak mungkin dapat dilupakan dalam landskap politik dan sosial Malaysia.

"Allahyarham akan dikenang kerana kepimpinannya yang menyenangkan, namun tegas, serta usaha untuk menggalakkan tadbir urus baik, pembaharuan antirasuah dan kesederhanaan dalam beragama. Pentadbirannya dicirikan oleh visi Malaysia yang progresif dan inklusif, berteraskan ihsan, integriti dan saling menghormati," kata Lee.

Beliau berkata Abdullah ialah penyokong kuat perkhidmatan awam dan nilai demokrasi, memupuk dialog dan wacana terbuka, bagaimanapun kepimpinan beliau yang tenang, namun tegas itu membawa negara melalui waktu genting dan sentiasa mengutamakan perpaduan dan kebajikan rakyat.

"Kami mengucapkan takziah kepada Tun Jeanne Abdullah dan keluarga. Semoga mereka memperoleh kekuatan dan ketenangan semasa masa sukar ini.

"Malaysia telah kehilangan seorang anak watan sejati, namun warisan beliau akan terus hidup melalui nilai-nilai yang beliau sanjung dan khidmat bakti yang telah dicurahkan kepada negara dengan penuh setia," katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan