SUKAN

LIGA SUPER: MYKOLA MUNCUL WIRA SRI PAHANG FC

20/04/2025 12:10 AM

KUALA LUMPUR, 19 April (Bernama) -- Sri Pahang FC menutup kempen Liga Super musim 2024/2025 dengan bergaya apabila menang 3-2 ke atas Penang FC di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh hari ini.

Skuad kendalian Fandi Ahmad itu berjaya mendahului menerusi jaringan pemain import Mykola Ahapov yang menendang masuk hantaran Sergio Fabian Aguero pada minit ke-18.

Bersambung babak kedua, Penang FC berhasil mengikat kedudukan 1-1 pada minit ke-48 menerusi sepakan deras Alif Ikmalrizal Anuar.

Bagaimanapun kedudukan itu tidak kekal lama apabila skuad Tok Gajah kembali mendahului selang 10 minit apabila Syazwan Andik Ishak melakukan rembatan untuk menewaskan penjaga gol Penang FC Al-Iman Wahiey Amir.

Pasukan pelawat bagaimanapun berjaya bangkit pada minit ke-64 menerusi gol sendiri pertahanan Sri Pahang Stefano Brundo yang secara tidak sengaja menampan bola masuk ke gawang sendiri ketika cuba mengeluarkan bola.

Mykola muncul wira pasukan tuan rumah apabila meledak gol kemenangan Sri Pahang pada minit ke-87 sekali gus menghadiahkan tiga mata penting buat Sri Pahang.

Keputusan itu menyaksikan Sri Pahang naik tiga anak tangga untuk menamatkan saingan musim ini di tangga keenam dengan mengumpul 29 mata manakala Penang FC kekal di tangga ke-10 selepas mengutip 27 mata.

Sementara itu dalam satu lagi aksi Liga Super yang berlangsung malam ini menyaksikan Selangor FC turut menutup musim ini dengan bergaya selepas menang 2-0 ke atas PDRM FC 2-0 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) hari ini.

Dua gol Selangor dijaringkan pada babak kedua menerusi Alvin Fortes dan Yohandry Orozco masing-masing pada minit ke-49 dan masa kecederaan (90+2).

Keputusan itu menyaksikan skuad kendalian Katsuhito Kinoshi kekal di tangga kedua liga dengan mengumpul 52 mata manakala The Cops pula menamatkan saingan di kedudukan kesembilan liga selepas mengutip 27 mata.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan