SHAH ALAM, 19 April (Bernama) -- Polis sedang menyiasat kejadian membabitkan seorang pengawal keselamatan yang dipercayai melepaskan tembakan ke arah seorang lelaki bersenjatakan parang di sebuah restoran di Banting dekat sini petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat Supt Mohd Akmalrizal Radzi berkata pihaknya dimaklumkan pada 3.31 petang oleh orang awam bahawa terdapat seorang lelaki warga tempatan mengacukan sebilah parang ke arah pegawai perubatan.
“Terlebih dahulu pada kira-kira 12.05 tengah hari, polis menerima panggilan daripada adik mangsa yang melaporkan dia mengamuk di rumahnya di kawasan Banting.
“Susulan itu, bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat telah menggerakkan anggotanya dan membawa lelaki itu ke Hospital Banting untuk mendapatkan rawatan sebelum kejadian tersebut berlaku pada sebelah petang,” menurutnya dalam kenyataan malam ini.
Beliau turut menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan selain memohon mereka yang mempunyai maklumat untuk hadir ke balai polis berdekatan atau menghubungi bilik gerakan IPD Kuala Langat di talian 03-3187 2222.
Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan serta Seksyen 37 dan Seksyen 39 Akta Senjata 1960.
Terdahulu, tular di laman sosial video memaparkan seorang lelaki dalam keadaan mengamuk mengacukan parang ke arah beberapa petugas kesihatan sebelum pengawal keselamatan yang berada di lokasi kejadian melepaskan tembakan menggunakan senapang patah.
-- BERNAMA