POLITIK

FADHLINA MENANG KETUA CABANG NIBONG TEBAL, NURUL IZZAH MENANG TANPA BERTANDING DI PERMATANG PAUH

19/04/2025 11:08 PM

GEORGE TOWN, 19 April (Bernama) -- Ketua Wanita PKR Fadhlina Sidek memenangi jawatan Ketua Cabang Nibong Tebal pada Pemilihan PKR 2025 peringkat Cabang yang berlangsung serentak dengan sayap Wanita dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang hari ini.

Fadhlina yang juga Menteri Pendidikan dan Ahli Parlimen Nibong Tebal memperoleh 677 undi sekali gus menewaskan dua pencabarnya iaitu Ketua AMK Nibong Tebal Muttaqeen Mustafa yang mendapat 335 undi dan Muhammad Navalan Abdullah yang sekadar meraih 72 undi.

Keputusan itu diumumkan menerusi laman rasmi Pemilihan PKR 2025 https://pemilihan.keadilanrakyat.org. malam ini.

Sementara itu, Fadhlina ketika dihubungi Bernama menyifatkan kemenangan tersebut sebagai satu amanah besar yang perlu dipikul sebaik mungkin dan berterima kasih kepada seluruh ahli parti PKR Cabang Nibong Tebal yang memberi mandat kepadanya.

“Fokus utama waktu ini adalah untuk mengukuhkan parti di peringkat cabang dan memastikan Nibong Tebal kekal kubu kuat PKR dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) berpaksikan kebaktian kepada seluruh masyarakat di sini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Cabang Nibong Tebal Datuk Dr Amar Pritpal Abdullah pula menang jawatan Timbalan Ketua Cabang Nibong Tebal dengan 551 undi, menewaskan dua pencabarnya.

 Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar merangkap Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Pulau Pinang pula menang tanpa bertanding bagi jawatan Ketua Cabang Permatang Pauh.

Selain itu, Timbalan Pengerusi MPN Pulau Pinang Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid yang juga Timbalan Ketua Menteri I menang jawatan Ketua Cabang Tasek Gelugor apabila meraih 412 undi, menewaskan pencabarnya Muhammad Zakwan Mustafa Kamal iaitu Timbalan Setiausaha Agung PKR yang memperoleh 319 undi.

Naib Pengerusi PKR Pulau Pinang Fahmi Zainol yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak kalah dalam perebutan jawatan Ketua Cabang Jelutong apabila hanya mendapat 181 undi, kepada penyandangnya Datuk Johari Kassim yang meraih 208 undi.

Ahli Parlimen Balik Pulau Muhammad Bakhtiar Wan Chik juga kalah merebut jawatan Ketua Cabang kawasan itu.

Seramai 13,869 ahli PKR negeri didaftarkan untuk mengundi bagi memilih jawatankuasa baharu di 12 daripada 13 cabang yang meliputi 13,542 pendundi secara dalam talian dan 327 ahli secara fizikal dengan 85 peratus keluar mengundi setakat 5 petang tadi.

Pengundian melibatkan Cabang PKR Bukit Mertajam, Kepala Batas, Tasek Gelugor, Bagan, Permatang Pauh, Nibong Tebal, Tanjong, Bukit Bendera, Jelutong, Bukit Gelugor, Bayan Baru dan Balik Pulau manakala Batu Kawan menyaksikan tiada pertandingan apabila penyandangnya ADUN Bukit Tambun Goh Choon Aik serta pasukannya menang tanpa bertanding.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan