AM

PELAN PENDIDIKAN TINGGI BAHARU DILANCAR TAHUN INI - TIMBALAN MENTERI

19/04/2025 06:09 PM

SANDAKAN, 19 April (Bernama) -- Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan melancarkan pelan pendidikan tinggi baharu negara tahun ini, membabitkan pelan 10 tahun sehingga 2035, kata timbalan menterinya Datuk Mustapha Sakmud.

Beliau berkata antara tumpuan pelan berkenaan adalah teknologi baharu, terutama berkaitan kecerdasan buatan (AI) yang semakin menjadi keperluan dalam pelbagai bidang. 

“Kita tidak boleh lari daripada teknologi AI. Ini fenomena baharu dan kita mahu graduan sama ada dari universiti, institusi pendidikan atau program pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) boleh beradaptasi dengan cabaran teknologi masa depan,” katanya. 

Mustapha berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Jom Masuk U 2025-Zon Sabah di sini hari ini. 

Sementara itu Mustapha berkata pelajar yang berhasrat melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi namun menghadapi kekangan kewangan boleh mengisi persetujuan menerima wang pendahuluan pinjaman sebelum mendaftar di institusi pendidikan.

“Wang pendahuluan RM1,500 daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan diberikan dan ini diharapkan dapat memudahkan sedikit persediaan untuk pelajar berkenaan melanjutkan pelajaran,” katanya.

Mustapha berkata pelajar dan keluarga yang kurang berkemampuan juga tidak perlu bimbang mengenai bayaran yuran pendaftaran kemasukan ke universiti kerana terdapat polisi kementerian agar yuran pendaftaran ditangguhkan sehingga pelajar berkenaan mendapat pembiayaan.

“Kita mahu memberi mesej bahawa masuk universiti ini mudah dan banyak insentif disediakan oleh kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri. KPT juga menyediakan kemudahan termasuk program penajaan,” katanya.

Program Jom Masuk U 2025-Zon Sabah berlangsung selama dua hari bermula hari ini, melibatkan penyertaan 20 universiti awam dan beberapa universiti swasta serta dua instituti TVET iaitu kolej komuniti dan politeknik. 

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan