EKONOMI

RUMAH TIDAK TERJUAL: KERAJAAN DISARAN KENAKAN SYARAT KETAT PADA PEMAJU

21/04/2025 03:04 PM

Oleh Nurfardlina Izzati Moktar

KUALA LUMPUR, 21 April (Bernama) – Kerajaan disaran menetapkan dasar lebih ketat terhadap pemaju untuk menyelesaikan jualan unit kediaman siap dibina sekurang-kurangnya lebih 15 peratus daripada jumlah dibina sebelum meluluskan pembinaan baharu.

Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia Dr Muhammad Iqmal Hisham Kamaruddin berkata langkah itu bagi mengatasi isu rumah berharga antara RM300,000 hingga RM500,000 seunit yang tidak terjual di negara ini, sekali gus memastikan tidak berlaku lambakan penawaran dalam pasaran.

“Bagi mengimbangi penawaran secara berlebihan, kerajaan boleh membuat ketetapan lebih ketat seperti kebenaran bagi setiap projek pembangunan di kawasan perumahan baharu tertakluk kepada jumlah lambakan kediaman di kawasan sedia ada.

“Sebagai contoh, sekiranya jumlah unit kediaman tidak terjual melebihi 15 peratus di sesuatu kawasan, pihak kerajaan perlu mengetatkan kelulusan dengan tidak membenarkan pembinaan unit kediaman baharu sehingga jumlah unit kediaman tidak terjual itu berkurangan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata demikian bagi mengulas itu rumah berharga antara RM300,000 hingga RM500,000 seunit yang direkodkan menjadi komponen hartanah paling banyak tidak terjual di negara ini pada suku ketiga 2024.

Berdasarkan laporan Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), kediaman yang tidak terjual itu mewakili 31.9 peratus komponen hartanah meliputi 7,003 unit bernilai RM2.78 bilion pada 2024.

Muhammad Iqmal juga berkata kerajaan sewajarnya memastikan harga hartanah di sesuatu kawasan itu bersesuaian dengan kemampuan dan pendapatan purata penduduk di tempat berkenaan.

Sebagai contoh, jika purata isi rumah penduduk di sesebuah negeri itu mempunyai keupayaan untuk membeli sebuah hartanah berjumlah RM500,000, beliau berkata seharusnya rumah yang ditawarkan juga tidak melebihi RM500,000 seunit.

Beliau berkata ini berikutan ketidakseimbangan antara pendapatan isi rumah dengan harga kediaman turut menjadi punca utama kepada isu lambakan rumah.

“Hal ini kerana pendapatan tidak berkadaran dengan julat harga rumah berikutan penengah pendapatan purata isi rumah di Malaysia sekitar RM6,338 sebulan pada 2023 manakala Indeks Harga Rumah Malaysia (IHRM) terkini adalah pada harga RM483,879 seunit.

“Dalam situasi ini, kebanyakan rumah dalam julat RM300,000 hingga RM500,000 memerlukan sekurang-kurangnya komitmen bulanan antara RM1,500 hingga RM2,500 sekali gus jumlah komitmen bulanan itu memerlukan pendapatan bulanan sekurang-kurangnya RM4,000 ke atas dan ia mewakili lebih 60 peratus daripada pendapatan individu terbabit,” katanya.

Selain itu, Muhammad Iqmal berkata faktor lain melibatkan kemampuan untuk menyediakan deposit sekurang-kurangnya 10 peratus daripada nilai kediaman.

Dalam pada itu, beliau berkata trend purata harga kediaman melalui IHRM menunjukkan peningkatan sehingga 2024 walaupun masih banyak unit kediaman yang tidak terjual.

"Sebagai contoh harga purata kediaman di Malaysia bernilai RM465,604 pada 2023 dan meningkat kepada RM483,879 pada 2024.

"Pada 2023, harga purata rumah teres setingkat ialah RM238,600 dan meningkat kepada RM251,500 pada 2024, manakala bagi rumah teres dua tingkat, purata harga naik daripada RM442,549 kepada RM466,506 dalam tempoh sama," katanya. 

Beliau menyatakan perkara itu jelas bertentangan dengan teori ekonomi di mana lebihan penawaran akan membawa kepada penurunan harga.

“Dalam hal ini, harga kediaman bukan sahaja tidak mengalami penurunan malah semakin meningkat dari semasa ke semasa dan anggapan bahawa harga kediaman yang tidak terjual di antara lima hingga 10 tahun akan menjadi lebih rendah adalah tidak benar.

“Jadi kediaman sedia ada perlu diberikan penurunan harga melalui diskaun dan rebat agar menjadi kompetitif dengan pasaran kediaman baharu,” jelasnya.

Beliau menjelaskan lambakan rumah tidak terjual juga boleh menjejaskan makroekonomi kerana pemaju yang gagal menjual unit yang mencukupi berisiko gagal membayar pinjaman, sekali gus memberi kesan kepada sektor kewangan.

--BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan