EKONOMI

PELABUR ASING JUAL EKUITI DALAM PASARAN ASIA BERJUMLAH RM3.84 BLN

21/04/2025 03:18 PM

KUALA LUMPUR, 21 April (Bernama) -- Pelabur asing meneruskan jualan bersih mereka dalam pasaran Asia untuk minggu ketiga berturut-turut dengan jumlah aliran keluar sebanyak US$3.84 bilion (US$1 = RM4.39).

Menurut Laporan Aliran Dana MIDF Amanah Investment Bank Bhd pada minggu berakhir 18 April, 2025, hanya Filipina dan India mencatatkan aliran masuk dana asing bersih dalam kalangan pasaran dijejaki.

Semua negara lain mencatatkan aliran keluar pelabur asing, Taiwan merekodkan jualan tertinggi.

India mendahului aliran masuk serantau dengan US$990.4 juta, membalikkan jualan bersih dua minggu berturut-turut, pulangan keyakinan pelabur disebabkan oleh inflasi yang berkurangan dan prospek pertumbuhan domestik berdaya tahan.

“Inflasi Indeks Harga Pengguna jatuh ke paras terendah bagi tempoh 67 bulan, 3.34 peratus pada Mac 2025, kebanyakannya disebabkan oleh deflasi harga makanan manakala permintaan luar bandar dijangka kekal memberangsangkan dalam persekitaran impak ekonomi yang positif susulan cuaca yang baik untuk sektor pertanian.

“Walaupun Fitch Ratings menurunkan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) India kepada 6.4 peratus atas sebab risiko perang perdagangan, Reserve Bank of India (Bank pusat India) mengekalkan sasaran pertumbuhan sebanyak 6.5 peratus,” kata laporan itu.

MIDF Amanah berkata wujud kemajuan dalam rundingan perdagangan antara India dengan Amerika Syarikat.

India mempertimbangkan untuk menghapuskan duti import terhadap etana dan gas petroleum cecair untuk meningkatkan keselamatan tenaga dan mengukuhkan hubungan dua hala, katanya.

Filipina mengakhiri jualan berturut-turut selama tiga minggu dengan aliran masuk bersih sederhana sebanyak US$6.5 juta.

Sementara itu, Indonesia menyaksikan aliran keluar bersih sebanyak US$1.26 bilion, jualan asing minggu kedua berturut-turut .

Sektor minyak sawit Indonesia meminta kerajaannya untuk menurunkan cukai eksport dan levi sebagai tindak balas kepada tarif timbal balik sebanyak 32 peratus dikenakan oleh AS, dijangka menurunkan harga getah peringkat ladang sehingga 3.0 peratus, kata laporan berkenaan.

Di Korea Selatan, pelabur asing melanjutkan jualan bersih mereka untuk minggu keempat dengan aliran keluar berjumlah US$1.00 bilion, keerajaan telah mengumumkan belanjawan tambahan AS$8.6 bilion untuk menyokong sektor terjejas oleh tarif AS terutamanya sektor automotif dan semikonduktor.

Vietnam mencatatkan US$185.8 juta dalam aliran keluar, menandakan minggu kesebelas berturut-turut dalam jualan asing.

Walaupun lawatan Presiden China, Xi Jinping ke Hanoi baru-baru ini menghasilkan lebih 40 perjanjian kerjasama, Vietnam mengelak untuk melibatkan diri dalam pendirian anti-AS oleh China.

Thailand mencatatkan US$26.9 juta dalam aliran keluar bersih, minggu kelapan berturut-turut jualan asing, Bank of Thailand memberi amaran bahawa tarif AS boleh menurunkan pertumbuhan KDNK sehingga satu mata peratusan dengan kesan sepenuhnya mungkin dirasai pada separuh kedua tahun ini.

Di peringkat tempatan, jualan bersih asing di Bursa Malaysia susut kepada RM330.5 juta, lebih rendah daripada RM1.97 bilion dicatatkan minggu sebelumnya.

Pelabur asing adalah penjual bersih setiap hari dagangan kecuali Jumaat, menyaksikan aliran masuk bersih sebanyak RM39.9 juta, aliran keluar tertinggi berlaku pada Rabu iaitu sebanyak RM153.6 juta, manakala hari lain dalam julat antara RM16.2 juta dan RM120.6 juta.

Aliran masuk pada Jumaat adalah susulan aliran keluar lima hari berturut-turut, sektor yang menyaksikan aliran masuk asing bersih ialah telekomunikasi dan media (RM119.5 juta), produk dan perkhidmatan pengguna (RM34.4 juta) dan hartanah (RM2.45 juta).

Tiga sektor teratas dengan aliran keluar asing bersih tertinggi adalah perkhidmatan kewangan (RM96.6 juta), teknologi (RM87.0 juta) dan pembinaan (RM80.8 juta).

Institusi tempatan terus menyokong pasaran, merekodkan belian bersih minggu ke-26 berturut-turut, dengan aliran masuk RM356.2 juta.

Pelabur runcit tempatan bertukar menjadi penjual bersih dengan aliran keluar RM25.7 juta, membalikkan trend aliran belian dua minggu.

Purata volum dagangan harian merosot secara keseluruhan dengan pelabur asing, institusi tempatan dan peruncit tempatan mencatatkan penurunan masing-masing sebanyak 48.7 peratus, 56.7 peratus dan 47.2 peratus.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan