JOHOR BAHRU, 21 April (Bernama) -- Singapura akan terus memperkukuh asas Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) untuk meningkatkan tawaran nilainya, kata Timbalan Perdana Menterinya, Gan Kim Yong.
Beliau yang juga Menteri Perdagangan dan Industri berkata republik itu menyasarkan untuk menambah baik aliran barangan dan pergerakan rakyat antara Singapura dan Johor dengan mempermudah prosedur pelepasan dan kastam.
Selain itu, katanya usaha juga akan dilakukan untuk memperkukuh ekosistem perniagaan melalui proses kelulusan yang diperkemas, pelaburan dalam pembangunan bakat dan mewujudkan pusat sehenti untuk perniagaan.
“Di pihak Singapura, Kementerian Perdagangan dan Industri bersama EnterpriseSG dan Lembaga Pembangunan Ekonomi telah mewujudkan pejabat projek bersama untuk menyokong syarikat berpangkalan di Singapura yang berminat untuk mengembangkan operasi di JS-SEZ.
“Inisiatif ini akan melengkapkan Pusat Memudahcara Pelaburan Malaysia di Johor yang ditubuhkan oleh Malaysia,” katanya dalam ucaptama pada Forum Perniagaan dan Pelaburan JS-SEZ di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Gan berkata Singapura akan mengukuhkan rangkaian kerjasama ekonominya dengan negara dan blok ekonomi yang mempunyai matlamat sama seperti dalam ASEAN serta Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik serta Majlis Kerjasama Teluk dan Kesatuan Eropah untuk membuka pasaran baharu dan aliran rantaian bekalan untuk perniagaan.
Beliau berkata JS-SEZ memberi peluang kepada perniagaan untuk mengkaji cara “memperkukuh rantaian bekalan mereka” supaya mereka dapat memberi respons yang lebih baik terhadap situasi tidak menentu dan terus mengembangkan perniagaan mereka.
“JS-SEZ membina kerjasama ekonomi yang kukuh dan berterusan antara Malaysia dan Singapura bagi membuka peluang baharu untuk perniagaan,” katanya.
Gan berkata sebahagian perniagaan di Singapura mungkin memilih untuk meningkatkan kapasiti mereka di JS-SEZ dan membangunkan keupayaan baharu manakala yang lain mungkin memutuskan untuk mewujudkan operasi mereka di Singapura dan Johor supaya mereka dapat memanfaatkan kekuatan masing-masing.
Misalnya, katanya SPC Group dari Korea Selatan memilih untuk menempatkan kilang pembuatan halalnya di Johor selain mewujudkan ibu pejabat serantau dan pusat inovasi di Singapura yang memacu penyelidikan dan pembangunan produk baharu.
“Kami turut berharap dapat menarik perniagaan baharu yang belum ada di Singapura atau Malaysia untuk melabur di JS-SEZ,” katanya.
Gan juga berharap Malaysia dan Singapura akan bekerjasama dengan negara-negara yang mempunyai matlamat sama, memperkukuh hubungan dan memudah cara menjalankan perniagaan serta berganding bahu dengan perniagaan dan pelabur dalam tempoh tidak menentu yang ketara dalam ekonomi global.
"Melalui cara ini, kedua-dua negara dapat mengeratkan lagi ekonomi melalui JS-SEZ dan memperkukuh rantaian bekalan kita supaya lebih dinamik dan berdaya tahan serta terus mewujudkan peluang pekerjaan yang baik untuk rakyat,” katanya.
-- BERNAMA