PUTRAJAYA, 21 April (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pemilihan dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) adalah urusan dalaman parti dan tidak ada kaitan dengan urusan pentadbiran kerajaan, sekali gus menolak spekulasi mengenai kemungkinan berlaku rombakan Kabinet.
“Ini (isu) pimpinan parti, ia berjalan dengan baik. Kalau ada masalah atau kekeliruan, ia boleh dibangkitkan dalam pemilihan parti.
“Pilihan parti berjalan dengan baik, mesyuarat khas pun akan diadakan Rabu ini, tapi ini persoalan parti. Tak timbul soal kerajaan negeri atau kerajaan Persekutuan – semuanya berjalan seperti biasa dan baik,” katanya.
Beliau yang juga Presiden PKR berkata segala pertimbangan mengenai kedudukan dalam kabinet dibuat berdasarkan prestasi setiap anggota pentadbiran, dan bukannya berasaskan percaturan politik.
“Saya lihat dari segi prestasi masing-masing dan bukan dari segi percaturan politik,” katanya yang juga Menteri Kewangan kepada pemberita semasa menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri warga Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di pekarangan bangunan KPT di sini.
Turut hadir pada majlis itu adalah Menteri KPT Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir serta timbalannya Datuk Mustapha Sakmud, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.
Proses pemilihan PKR yang berakhir semalam menyaksikan beberapa anggota pentadbiran seperti Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad yang juga Naib Presiden PKR, gagal mempertahankan jawatannya sebagai Ketua Cabang Setiawangsa.
Beliau yang meraih 563 undi, tewas kepada pengarah serta pelakon Datuk Afdlin Shauki yang memperoleh 631 undi.
Selain itu Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abd Halim turut gagal dalam cubaan merebut jawatan Timbalan Ketua Cabang Hang Tuah Jaya apabila hanya memperoleh 791 undi berbanding pencabarnya Zamzizul Nordin yang meraih 1,905 undi.
Semalam Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Akmal Nasrullah Mohd Nasir turut gagal mempertahankan jawatannya sebagai Ketua Cabang PKR Johor Bahru selepas tewas kepada Mohamad Taufiq Ismail.
Ahli Parlimen Johor Bahru yang juga Pengarah Strategi PKR itu hanya memperoleh 587 undi berbanding 709 undi diraih Mohamad Taufik, yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor.
-- BERNAMA