AM

CADANGAN HAD TEMPOH PM 10 TAHUN, GUBAL AKTA PENDANAAN POLITIK MASIH DI PERINGKAT LIBAT URUS

21/04/2025 05:57 PM

PUTRAJAYA, 21 April (Bernama) -- Cadangan untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal serta penggubalan Akta Pendanaan Politik masih di peringkat kajian dan libat urus bersama parti-parti politik, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.

Beliau berkata kedua-dua perkara, jika dikuatkuasakan, akan turut terpakai di peringkat negeri.

Azalina berkata demikian kepada pemberita di Majlis Santunan Mesra Aidilfitri anjuran Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini.

Majlis itu turut dihadiri oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pada Mac lepas, Anwar bersetuju melaksanakan agenda reformasi termasuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun dan menegaskan proses itu perlu dilakukan dengan rapi serta memerlukan konsensus semua parti selain dua pertiga Ahli Parlimen.

Azalina juga berkata pejabatnya sudah berhubung dengan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkaitan Akta Pendanaan Politik.

"Agensi seperti SPRM dan SPR, mereka memang menggalakkan pendanaan politik tapi dalam bentuk yang macam mana?

"Kita nak kena kaji banyak aspek daripada segi jumlah, konsep pendanaan, definisi pendanaan, penggunaan pendanaan, sama ada dia derma kepada individu atau parti," katanya.

Beliau berkata pihaknya juga telah mengadakan pertemuan dengan parti-parti politik berhubung penggubalan Akta Pendanaan Politik dan setakat ini, respons yang diterima adalah positif.

"Kami dah jumpa tapi kita beri masa kepada mereka untuk berkongsi pandangan dan pendapat mereka secara bertulis. 

"Sebagai Kerajaan MADANI, kita amat demokratik. Semua yang kita buat kita kena dapat pandangan daripada badan bukan kerajaan, masyarakat sivil, universiti dan pihak berkepentingan," katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan