PETALING JAYA, 21 April (Bernama) -- Penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam penghasilan muzik menimbulkan persoalan berkaitan keaslian karya dan perlindungan hak cipta.
Ketua Pengarah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) Kamal Kormin berkata penggunaan teknologi itu turut mencabar peranan dan sumbangan penggiat industri muzik.
“Isu utama yang dibangkitkan adalah mengenai pemilikan harta intelek dalam konteks AI. Milik siapakah karya yang dihasilkan? Jika mengikut konsep tradisional, harta intelek merujuk kepada ciptaan asli manusia sama ada dalam bentuk tulisan, muzik, reka bentuk mahupun penemuan.
“Namun apabila AI digunakan untuk menghasilkan karya secara automatik atau separa automatik, timbul persoalan besar, adakah hak cipta itu milik pencipta algoritma, pengguna sistem, atau AI itu sendiri?” katanya semasa merasmikan Sambutan Hari Harta Intelek Negara (HHIN) 2025 di sini, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Sheikh Arifin Sheikh Mohd Noor dan Timbalan Ketua Pengarah (Strategik dan Teknikal) MyIPO Yusnieza Syarmila Yusoff.
Sehubungan itu, Kamal berkata undang-undang hak cipta perlu berkembang seiring dengan kemajuan teknologi bagi memastikan karya terus dilindungi.
“Akta Hak Cipta 1987 kini sedang diperhalusi bagi menjamin perlindungan terhadap penggiat seni kreatif, sejajar dengan perkembangan teknologi semasa,” katanya.
Menurut beliau, MyIPO turut melaksanakan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan kesedaran tentang perlindungan harta intelek dalam kalangan pencipta muzik, termasuk penganjuran webinar dan kerjasama dengan persatuan muzik tempatan.
Mengenai HHIN, beliau menjemput semua penggiat seni termasuk pencipta lagu, penyanyi dan pemuzik menghadiri seminar dan podcast yang diadakan sempena sambutan lima hari bermula hari ini.
Sambutan bertemakan ‘Muzik Kita, Milik Kita’ itu memberi tumpuan kepada peningkatan kesedaran bahawa setiap karya muzik yang dicipta merupakan harta yang mempunyai nilai ekonomi, budaya dan emosi yang tinggi, serta wajar dilindungi sebagai harta intelek yang sah.
-- BERNAMA