EKONOMI

TAOBAO MALAYSIA BAKAL LANCAR ANTARA MUKA BAHASA MALAYSIA PADA JUN

21/04/2025 07:09 PM

KUALA LUMPUR, 21 April (Bernama) -- Platform e-dagang Taobao Malaysia merancang untuk melancarkan antara muka (interface) dalam Bahasa Malaysia menjelang Jun 2025.

Dalam kenyataan hari ini, Taobao Malaysia berkata penambahbaikan itu mencerminkan keutamaan bahasa rasmi negara dan memenuhi keperluan yang semakin meningkat terhadap pembelian rentas sempadan dalam kalangan pengguna Malaysia.

Kenyataan itu menyebut terdapat “lonjakan dalam populariti global” untuk aplikasi Taobao, yang baru-baru ini menjadi aplikasi kedua paling banyak dimuat turun di Amerika Syarikat, Kanada dan United Kingdom serta menduduki tempat pertama di Perancis.

“Di Malaysia, setakat 16 April, 2025, Taobao telah menjadi aplikasi kedua paling banyak dimuat turun di aplikasi membeli-belah iOS — menunjukkan minat dan keyakinan tinggi pengguna tempatan terhadap platform ini,” kata syarikat itu.

Ketua Negara Taobao Malaysia Jess Lew berkata pilihan Bahasa Malaysia merupakan sebahagian daripada usaha penyetempatan platform itu.

“Ia memperkasa komitmen kami untuk menyediakan pengguna di Malaysia dengan aplikasi yang mudah diakses, lancar dan pengalaman membeli-belah secara dalam talian tanpa ada rasa keraguan,” katanya.

Pada September tahun lalu, Taobao telah memperkenalkan antara muka bahasa Inggeris untuk pasaran Malaysia, disokong oleh teknologi kecerdasan buatan (AI) yang menterjemahkan kandungan platform secara automatik.

"Dengan penerangan produk dalam bahasa Inggeris, paparan harga dalam Ringgit Malaysia (RM) dan antara muka yang lebih mudah, pengguna Malaysia kini boleh membeli-belah dengan lebih mudah," katanya.

Taobao Malaysia berkata pengguna boleh memilih pelbagai kaedah pembayaran, termasuklah kad debit, kad kredit, perbankan secara dalam talian, e-dompet serta pelan ansuran.

Barang yang dipesan juga boleh dijejak secara terus dalam aplikasi bagi memastikan ketelusan dan memudahkan pembeli. 

"Aplikasi Taobao boleh dimuat turun secara percuma di Apple App Store dan Google Play Store," katanya.

Pengguna boleh mengikuti Taobao Malaysia di Facebook, Instagram, TikTok dan X, atau log masuk ke aplikasi untuk maklumat lanjut.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan