PUTRAJAYA, 21 April (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini secara berseloroh memetik bait lagu ‘Tunggu Sekejap” dendangan Tan Sri P.Ramlee yang diubah liriknya, sebagai menjawab soalan media berhubung beberapa keputusan pemilihan PKR yang mencatatkan kejutan.
Beliau yang ditemui di Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) ketika ditanya mengenai kekalahan beberapa ‘nama besar’ dalam parti pada pemilihan itu, dengan santai bernyanyi: "Tunggu sekejap, jangan dikenang orang jauh..tunggu sekejap," tanpa memberikan jawapan lanjut mengenai isu tersebut.
Gelagat perdana menteri yang ceria dan bersahaja itu mengundang tawa para wartawan sebelum beliau meninggalkan majlis berkenaan.
Proses pemilihan PKR yang berakhir semalam menyaksikan angin perubahan dalam pimpinan parti, dengan beberapa calon hebat tewas, antaranya Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad yang juga Naib Presiden PKR, gagal mempertahankan jawatannya sebagai Ketua Cabang Setiawangsa apabila tewas kepada pengarah serta pelakon Datuk Afdlin Shauki.
Nik Nazmi meraih 563 undi berbanding Afdlin yang memperoleh 631 undi.
Selain itu Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abd Halim turut gagal dalam cubaan merebut jawatan Timbalan Ketua Cabang Hang Tuah Jaya apabila hanya memperoleh 791 undi berbanding pencabarnya Zamzizul Nordin yang meraih 1,905 undi.
Terdahulu Anwar yang juga Menteri Kewangan tiba di Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri MOSTI pada 12.15 tengah hari dan meluangkan masa hampir sejam menyantuni warga MOSTI.
Selain itu Perdana Menteri hari ini turut meluangkan masa menghadiri Majlis Santunan Mesra Aidilfitri yang dianjurkan oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Anwar yang tiba pada 12.50 tengah hari disambut Menteri di JPM (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman dan warga kerja BHEUU.
Turut hadir Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.
Dalam majlis tersebut, Anwar meluangkan masa untuk menyantuni warga kerja BHEUU serta agensi-agensi di bawahnya yang hadir memeriahkan sambutan Aidilfitri itu sebelum meninggalkan majlis.
-- BERNAMA