AM

LEBIH 200 TAPAK PEMANCAR 5G DIBANGUNKAN DI KELANTAN 

22/04/2025 01:59 PM

KOTA BHARU, 22 April (Bernama) -- Sebanyak 232 tapak pemancar 5G dibangunkan di Kelantan dengan memberi liputan 67 peratus di kawasan berpenduduk sehingga 31 Januari tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi negeri Datuk Wan Roslan Wan Hamat berkata ia bagi memastikan penduduk dapat menikmati liputan 5G yang baik dari semasa ke semasa.

Beliau berkata pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersama penyedia perkhidmatan telekomunikasi akan sentiasa berbincang, merancang dan melaksanakan langkah-langkah penambahbaikan.

“Pada tahun ini juga, kerajaan negeri meluluskan pembinaan tujuh menara telekomunikasi termasuk di jajahan Gua Musang.

“Antara langkah yang dilakukan adalah menambah lokasi baharu menara telekomunikasi, menaik taraf atau menambah kapasiti rangkaian serta menjalankan ujian dan pemeriksaan secara berkala rangkaian yang ada,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Wan Rohimi Wan Daud (PAS-Melor) mengenai langkah kerajaan negeri dalam membantu menyediakan talian penghantaran fiber optik pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kompleks Kota Darulnaim hari ini.

Mengulas lanjut, Wan Roslan berkata bagi menggalakkan projek pembangunan infrastruktur telekomunikasi di Kelantan, pihaknya mempertimbangkan beberapa insentif untuk memastikan peningkatan kebolehcapaian jaringan kepada rakyat Kelantan.

“Kerajaan negeri juga menyediakan satu Pelan Kesalinghubungan Gentian Optik bagi memastikan usaha meningkatkan liputan komunikasi dan internet berkelajuan tinggi dapat diperluaskan ke kawasan perindustrian dan komersial serta pusat pendidikan iaitu sekolah dan institusi pengajian tinggi.

“Selain itu, kita juga mempertimbangkan kemudahan kebenaran kemasukan awal dengan tertakluk kepada bayaran deposit 50 peratus bagi melaksanakan kerja-kerja pemasangan khusus projek berkaitan kerajaan.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan