KUALA LUMPUR, 25 April (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahukan supaya projek Warisan KL: Warisan Ibu Kota Malaysia MADANI yang diluncurkan hari ini disegerakan, dengan turut mengambil kira keperluan dan keselesaan majoriti rakyat.
Beliau berkata meskipun projek berkenaan melibatkan pembaharuan Kuala Lumpur dan mengangkat pembangunan negara moden, namun ia tidak boleh meminggirkan rakyat, warisan dan nilai budaya.
"Kita mahu menjadikan program ini segera kerana kita mahu Malaysia memulakan kerangka, perancangan yang moden dan berteknologi baharu, tetapi mengakar ke bumi dengan warisan dan budayanya, nilainya yang memberikan kemudahan kepada kebanyakan rakyat.
"Warisan ini mesti menjamin keselesaan rakyat, kawasan hijau, keselamatan mereka, keindahan padangnya, kesempatan untuk orang berjalan dan berbasikal, ini bagi kita satu kota yang moden, baharu dan bukan untuk memenuhi mana-mana kelas tetapi keperluan semua rakyat," katanya pada majlis peluncuran projek itu di Menara 1, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) , hari ini.
Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif.
Perdana Menteri berkata aspek pembangunan tidak boleh hanya tertumpu kepada usaha untuk menggalakkan penyertaan pelancong dan golongan elit semata-mata, sedangkan majoriti rakyat dipinggirkan.
"Kita tidak menolak untuk Malaysia dan Kuala Lumpur khususnya menarik pelancong dan rakyat umumnya termasuk golongan atasan, adanya hotel bintang tujuh, atau restoran megah tiada masalah, tetapi jangan kita fikir pembangunan ini bererti pemusatan ke arah itu, padahal 80 peratus rakyat kita di gerai, di warung, restoran kecil, ini diberi perhatian, tetapi ala kadar.
"Sebab itu saya tekankan kepada DBKL, saya mahu gedung-gedung kecil termasuk gerai dan warung yang bersih dan mematuhi syarat ketat, diindahkan dan memuliakan rakyat yang 75 ke 80 peratus gunakan," katanya.
Warisan KL ialah inisiatif strategik untuk mentransformasikan kawasan bersejarah yang tertumpu di Pusat Bandar Kuala Lumpur sebagai zon budaya dan kreatif, dengan berpandukan Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 serta membawa pendekatan pembangunan bandar yang berasaskan budaya.
Melalui pelaksanaan 10 projek perintis andalan, Warisan KL berhasrat menjadikan Kuala Lumpur sebuah kota kreatif bertaraf global yang inklusif, saling terhubung dan mencerminkan identiti Malaysia.
Warisan KL meliputi lima zon utama dikenali sebagai Zon Teras dengan setiap zon menampilkan keunikan dan fungsi tersendiri dan zon ini disokong oleh kawasan sekeliling membentuk zon Penampan, yang turut merangkumi pelbagai mercu tanda ikonik serta ruang bandar yang memperkukuhkan identiti kawasan bersejarah ini.
Ia menggunakan pendekatan pembangunan semula bandar berasaskan budaya untuk mengolah semula ruang kota sebagai destinasi kreatif dan budaya yang dinamik, sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI yang inklusif, progresif dan mampan.
Projek ini turut menghimpunkan pelbagai rakan strategik termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Think City, Khazanah, syarikat berkaitan kerajaan, syarikat pelaburan berkaitan kerajaan, serta pemain seni dan budaya dengan komitmen menjadikan Kuala Lumpur, kota milik semua dan cerminan jati diri bangsa.
Antara projek andalan tersebut melibatkan Kawasan Warisan Dataran Merdeka, Carcosa Seri Negara, Merdeka 118, Enklaf Masjid Jamek, Memorial Tun Abdul Razak dan Stesen Keretapi Kuala Lumpur.
-- BERNAMA