KUALA LUMPUR, 25 April (Bernama) -- Bandar raya Kuala Lumpur kini mula melaksanakan satu daripada projek pembaharuan bandar dengan pelancaran program Warisan Kuala Lumpur (Warisan KL) hari ini, satu usaha pemulihan berteraskan budaya untuk menghidupkan semula pusat bandar bersejarah ini sebagai hab warisan, kreativiti dan pertumbuhan inklusif.
Diterajui oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan disokong oleh rakan strategik termasuk Think City dan Khazanah Nasional, Warisan KL menggabungkan 10 projek perintis utama bertujuan memberikan nafas baharu kepada kawasan warisan di bandar raya ini.
Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif berkata inisiatif berkenaan merangkumi kawasan tumpuan seluas 20 kilometer persegi merentasi kawasan sivik, warisan dan komersial yang penting, selaras dengan Pelan Pembangunan Kuala Lumpur 2040 dan dibina berdasarkan rangka kerja pembangunan terdahulu, termasuk rancangan tempatan pada 2014 dan 2020.
Komponen utama termasuk pemulihan dan pemuliharaan kawasan ikonik, seperti Enklaf Masjid Jamek, kawasan Dataran Merdeka, Carcosa Seri Negara dan Merdeka 118, serta mengubah pasaran sehenti "Trade Quadrant" yang bersejarah menjadi hab budaya dan komersial untuk usahawan moden, perniagaan legasi dan komuniti kreatif.
Inisiatif Warisan KL juga melihat semula dan menyepadukan usaha sebelum ini, seperti projek River of Life, meningkatkan tarikan awam melalui penambahbaikan infrastruktur, papan tanda dan penceritaan, sambil menggalakkan penyertaan belia dan masyarakat untuk bersama-sama mencorakkan ruang itu.
"Visi jangka panjang program ini adalah untuk mewujudkan bandar yang bukan sahaja boleh didiami, tetapi juga boleh disayangi – sebuah tempat yang masa depannya dibentuk oleh masa lepas, dan pembangunan berakar pada identiti, memori dan kebanggaan.
"Ia bukan sekadar pembaharuan bandar, ia agenda nasional untuk kebangkitan semula budaya dan kreativiti, dengan hasrat menjadikan Kuala Lumpur sebagai ibu kota budaya dan kreatif terkemuka di rantau ini dan pentas global," kata Maimunah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Warisan KL.
Beliau berkata pelaburan awal untuk program Warisan KL adalah sebanyak RM600 juta seperti yang diumumkan dalam Belanjawan Persekutuan, dengan peruntukan tambahan dijangka diperoleh menerusi pelaburan sektor swasta.
"Inisiatif ini akan dilaksanakan secara berfasa, dengan beberapa projek jangka pendek dan quick win sudah bermula pada 2025. Pelaksanaan penuh dijangka berlangsung selama lima hingga 10 tahun akan datang, dengan kemampanan, penyertaan komuniti dan inovasi kreatif sebagai teras," katanya.
Sementara itu, sebagai sebahagian daripada usaha lebih besar untuk meremajakan kawasan bersejarah ibu kota melalui projek Warisan KL, DBKL juga mengambil langkah berani untuk mendapatkan pengiktirafan antarabangsa bagi Kuala Lumpur sebagai Bandar Reka Bentuk Kreatif UNESCO.
Maimunah berkata DBKL telah menghantar permohonan secara rasmi untuk menyertai Rangkaian Bandar Kreatif UNESCO (UCCN) pada 3 Mac dan menerima pengesahan pada 14 April bahawa permohonan itu berjaya mara ke peringkat seterusnya.
Beliau berkata tidak seperti Georgetown dan Melaka yang disenaraikan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO, UCCN mengiktiraf bandar yang mengutamakan inovasi, tadbir urus, dan penglibatan komuniti menerusi kreativiti.
"Bagi Kuala Lumpur, pengiktirafan itu akan mengesahkan pelaburan strategik dalam pembangunan berasaskan budaya, khususnya dalam reka bentuk dan pemeliharaan warisan," katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Think City Datuk Hamdan Abdul Majeed berkata sekiranya berjaya, pengiktirafan itu juga akan meletakkan Kuala Lumpur dalam peta dunia bukan sekadar sebagai bandar warisan, tetapi juga sebagai bandar yang bergerak maju dengan kreativiti sebagai teras.
"Ia memberikan kita momentum, kedudukan global dan membuka laluan kepada aspirasi masa depan termasuk pengiktirafan sebagai tapak ekonomi dunia," katanya.
-- BERNAMA