JENAYAH & MAHKAMAH

LAPAN INDIVIDU MENGAKU SALAH UGUT BUNUH, PEMERASAN SERTA KURUNG LELAKI

25/04/2025 05:44 PM

JOHOR BAHRU, 25 April (Bernama) -- Tujuh lelaki dan seorang wanita mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan melakukan ugutan bunuh, pemerasan serta mengurung secara paksa terhadap seorang lelaki di sebuah rumah di Plentong di sini, minggu lepas.

Muhammad Aqmal Hafifi Mustafa Kamal, 25; Ahmad Rushdi Jumadi, 23; Muhammad Nur Shafiq Abdullah, 25; Muhammad Haikal Zulkarnain, 19; Mohamad Amierul Hakim Shamsuri, 23; Mohamad Danish Hakim Kamaruddin, 20; Syamsul Hamiziey Saiful Razali, 19, dan Nuredrianna Balqqisyh Anabella Norazman, 22, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Atifah Hazimah Wahab.

Bagi pertuduhan pertama, mereka didakwa bersama-sama menakutkan secara jenayah dengan ugutan hendak menyebabkan kematian terhadap Muhammad Faris Syahmi Mohd Ridzwan, 22.

Untuk pertuduhan kedua, mereka didakwa bersama-sama dengan sengaja telah melakukan pemerasan dengan mendatangkan ketakutan terhadap Muhammad Faris Syahmi dengan tidak berhenti memukul dan melepaskannya, hingga mendorong mangsa menyerahkan wang berjumlah RM650 melalui akaun e-dompet dan kunci motosikal Yamaha Y16 kepada Mohamad Amierul Hakim. 

Bagi pertuduhan ketiga, kesemua tertuduh serta dua lagi yang masih bebas didakwa secara bersama-sama mengurung mangsa.

Dalam prosiding yang sama juga, ketujuh-tujuh individu lelaki itu turut mengaku bersalah terhadap pertuduhan keempat iaitu dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap mangsa sama.

Kesemua kesalahan berkenaan dilakukan di sebuah pangsapuri di Plentong, Masai, di sini, antara 10 malam hingga 4 pagi, pada 18 hingga 19 April lepas.

Pertuduhan pertama hingga ketiga mengikut Seksyen 506, 384 dan 342 Kanun Keseksaan manakala pertuduhan keempat mengikut Seksyen 323 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian memerintahkan tujuh tertuduh lelaki masing-masing diikat jamin RM16,000 dengan seorang penjamin untuk semua pertuduhan, manakala Nuredrianna Balqqisyh Anabella RM14,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah turut menetapkan 3 Jun depan bagi fakta kes dan jatuh hukum.

Pendakwaan dikendikan Pengarah Pendakwaan Negeri Johor Abdul Ghafar Ab Latif dan dibantu Timbalan Pendakwa Raya Nik Noratini Nik Azman serta Nur Fatihah Mohd Nizam manakala kesemua tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan Norfarahin Mohd Yazid dan T. Nadarajan.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan