KUALA LUMPUR, 25 April (Bernama) -- Bina Puri Holdings Bhd menyatakan pihaknya bersedia memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam siasatan ke atas aktiviti dagangan luar biasa melibatkan sahamnya, serta beberapa syarikat lain.
Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat pembinaan itu menjelaskan pihaknya bersedia bekerjasama dengan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Bursa Malaysia Bhd sekiranya mereka memerlukan sebarang maklumat atau bantuan sepanjang siasatan itu.
“Syarikat juga ingin meyakinkan kalangan pihak berkepentingan bahawa akaun peribadi dan pegangan saham utama dan pemiliknya tidak akan terjejas atau diakses tanpa kebenaran.
“Lembaga pengarah kekal komited terhadap ketelusan dan perlindungan terhadap kepentingan pelabur,” tambahnya.
Syarikat juga akan memaklumkan perkembangan lanjut apabila lebih banyak maklumat tersedia.
Terdahulu SC dan Bursa Malaysia memaklumkan pihak mereka menerima laporan daripada beberapa broker yang mengenal pasti kegagalan log masuk pelanggan dan akses atau aktiviti dagangan tanpa kebenaran yang dilaksanakan melalui akaun dagangan dalam talian sebilangan kecil pelanggan.
Tindakan telah dilaksanakan untuk memininumkan risiko akses dan dagangan yang tidak dibenarkan selanjutnya, tambah SC dan Bursa Malaysia dalam satu kenyataan bersama.
Jualan singkat harian bagi Bina Puri telah digantung selepas harga sahamnya merosot 42.7 peratus atau 16 sen kepada 21.5 sen semasa awal dagangan hari ini.
Pada 5 petang, saham Bina Puri susut 11 sen atau 29.33 peratus kepada 26.5 sen sesaham dengan 54.18 juta saham bertukar tangan, daripada 37.5 sen sesaham ketika ditutup pada Khamis.
-- BERNAMA