AM

PRK AYER KUNING: PELAJAR IKM TERUJA KALI PERTAMA PILIH WAKIL RAKYAT

26/04/2025 11:21 AM

TAPAH, 26 April (Bernama) -- Pelajar Ahmad Saufi Mhd Roslan, 19, mengakui teruja apabila kali pertama berpeluang menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat kawasannya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning di Sekolah Kebangsaan Sungai Lesong, di sini pagi ini.

Pelajar jurusan Diploma Pengeluaran Perabot dari Institut Kemahiran Mara (IKM) Sungai Petani yang tiba di pusat mengundi itu pada 7.30 pagi berkata pada mulanya dia berasa agak gementar untuk mengundi.

“Disebabkan ini kali pertama saya mengundi, memang rasa gementar tetapi teruja sebab dapat pilih calon tahun ini. Memang rasa teringin nak undi sebab sebelum ini hanya tengok keluarga sahaja mengundi, jadi rasa nak buat juga.

“Lepas undi rasa senang dan lega sebab dapat mengundi siapa yang saya nak pilih (menjadi wakil rakyat,” katanya ketika ditemui di sini.

Ahmad Saufi yang menetap di Kampung Sungai Lesong berkata dia hadir ke pusat mengundi itu bersama bapanya Mhd Roslan Ghazali, 52, yang juga pengundi di pusat sama.

Menurut Ahmad Saufi, dia hanya pulang ke kampung pada Khamis lepas untuk mengundi dan akan kembali ke IKM Sungai Petani, petang ini.

Sementara itu, Mhd Roslan berkata jari telunjuknya terpotong berpunca daripada melakukan kerja-kerja perabot pada 2006, dan terpaksa mencelup dakwat menggunakan jari kelengkengnya.

“Saya berasa teruja dapat membawa anak ke pusat mengundi ini. Mungkin selepas makan petang saya akan hantar dia semula ke Sungai Petani,” katanya.

PRK DUN Ayer Kuning diadakan berikutan kematian penyandangnya, Ishsam Shahruddin, pada 22 Feb lepas akibat serangan jantung.

Ia menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Dr Mohamad Yusri Bakir, calon Perikatan Nasional (PN) Abd Muhaimin Malek dan calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) Bawani KS.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan