EKONOMI

MALAYSIA-MALDIVES PERKUKUHKAN HUBUNGAN EKONOMI, SASAR PELUANG PELABURAN

28/04/2025 02:36 PM

PUTRAJAYA, 28 April (Bernama) -- Maldives mahu memanfaatkan potensi pelaburan Malaysia khususnya dalam sektor pertumbuhan utama, kata Presiden Maldives Dr Mohamed Muizzu, yang tiba di Malaysia hari ini untuk lawatan rasmi empat hari.

Bercakap pada sidang media bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Muizzu menekankan kepentingan perdagangan dan pelaburan sebagai tonggak utama hubungan dua hala kedua-dua negara.

Beliau juga meluahkan keterujaan untuk kerjasama ekonomi selanjutnya antara Malaysia dan Maldives.

"Perdagangan dan pelaburan kekal sebagai tonggak utama hubungan dua hala kami. Saya melihat potensi besar untuk meningkatkan hubungan ekonomi dan menjemput pelabur Malaysia untuk meneroka peluang di Maldives khususnya di zon ekonomi khas, sektor perniagaan, perkhidmatan kewangan, ekonomi maritim, selain daripada ekonomi digital," katanya.

Kedua-dua pemimpin akan menghadiri Forum Perniagaan Malaysia-Maldives lewat hari ini, mereka dijangka membincangkan prospek pelaburan dan meneroka usaha sama.

Maldives telah muncul sebagai rakan perdagangan keenam terbesar Malaysia dalam kalangan negara Asia Selatan.

Pada 2024, jumlah perdagangan Malaysia dengan Maldives meningkat 4.3 peratus kepada RM862.7 juta (US$189 juta), melonjak daripada RM827.3 juta (US$180.9 juta) pada 2023.

Sebagai sebahagian daripada penglibatan ekonomi yang berterusan ini, kedua-dua kerajaan berminat untuk meningkatkan lagi hubungan perdagangan dan memupuk pelaburan lebih besar dalam bidang utama.

Muizzu turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan Malaysia atas bantuan dalam pembangunan modal insan di Maldives, khususnya melalui Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP).

“MTCP telah membantu dalam memperkasa keupayaan penjawat awam kami selama ini,” katanya.

MTCP yang ditubuhkan pada 1980 untuk menandakan komitmen Malaysia terhadap inisiatif Kerjasama Selatan-Selatan (SSC), dilaksanakan menerusi perkongsian pengalaman pembangunan dengan negara-negara membangun lain.

SSC adalah proses kerjasama dua atau lebih negara membangun, yang dikenali sebagai Global South, bekerjasama untuk mencapat matlamat pembangunan yang sama.

Muizzu turut menghargai lebih 600 peluang biasiswa yang ditawarkan oleh institusi pengajian tinggi Malaysia kepada pelajar Maldives dan memuji langkah Malaysia terhadap aturan visa terutamanya Visa Penjaga.

Menurut Muizzu, kedua-dua negara sedang berusaha mempercepat dan memuktamadkan beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) khususnya dalam bidang pertahanan dan sektor-sektor strategik yang lain.

Beliau turut memuji kepimpinan Malaysia dalam industri halal dan ekonomi digital sambil menyatakan hasrat Maldives untuk meneroka kerjasama dalam bidang teknologi baharu yang sedang berkembang.

Presiden Maldives turut menekankan komitmen terhadap pengawalan iklim, termasuk sasaran menghasilkan 33 peratus tenaga daripada sumber boleh diperbaharui menjelang 2028 serta usaha penanaman lima juta pokok.

“Ekonomi dan kehidupan rakyat Maldives sangat bergantung pada kelestarian alam sekitar yang rapuh. 

"Saya telah berbincang dengan Perdana Menteri (Anwar) mengenai kepentingan akses mudah kepada penyesuaian global bagi negara-negara terdedah seperti Malsdives yang berdepan dengan kesan perubahan iklim tidak seimbang,” katanya.

Muizzu juga menzahirkan sokongan penuh terhadap Malaysia selaku Pengerusi ASEAN tahun ini, dengan menekankan kepentingan mempererat hubungan dua hala melalui pertukaran dan kerjasama peringkat tinggi.

“Maldives terus menjadi sahabat Malaysia, komited terhadap visi bersama untuk pembangunan, keamanan dan kestabilan dan saya berharap kedua-dua negara akan terus menikmati keharmonian, kemajuan dan kemakmuran,” katanya.

-- BERNAMA 

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan