PUTRAJAYA, 28 April (Bernama) -- Mahkamah Persekutuan hari ini memutuskan bahawa tujuh soalan yang dikemukakan Peguam Negara (AG) dalam kes melibatkan dokumen tambahan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, adalah isu kepentingan awam yang perlu dibincangkan di mahkamah.
Ketua Hakim Malaya Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim ketika membenarkan permohonan untuk merayu oleh Peguam Negara berhubung dokumen tambahan Najib, berkata soalan-soalan yang dicadangkan, memenuhi syarat untuk diberikan kebenaran di bawah Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman (CJA) 1964.
"Soalan-soalan yang dikemukakan, isu kepentingan awam dan boleh memberikan panduan kepada mahkamah mengenai pendekatan yang betul untuk diterima pakai dalam menangani penerimaan atau bukti tambahan.
“Soalan-soalan ini juga berkaitan peranan Peguam Negara dalam prosedur semakan kehakiman, khususnya sama ada Peguam Negara mempunyai kewajipan di bawah undang-undang untuk mengesahkan kewujudan dan menyediakan salinan dokumen yang dipersoalkan,” katanya dalam membenarkan permohonan kebenaran Peguam Negara terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan permohonan Najib untuk memberikan bukti tambahan bagi menyokong dakwaannya kewujudan dokumen tambahan.
Antara soalan-soalan tersebut ialah jika Peraturan 7(3A) Peraturan Mahkamah Rayuan 1994 mengenakan ambang yang lebih tinggi ke atas pihak-pihak yang ingin membawa bukti baru atau tambahan dengan memerlukan pembuktian “pengaruh penentu”, yang melebihi “pengaruh penting” dan jika beban pembuktian mengenai kewujudan bukti baru atau tambahan yang dipertikaikan, terletak pada Peguam Negara dalam kapasiti beliau semasa bertindak semata-mata di bawah Perintah 53 Peraturan 3(3) Peraturan Mahkamah 2012.
Hakim Hasnah, yang mempengerusikan panel bersama hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Zabariah Mohd Yusof dan Datuk Hanipah Farikullah berkata pemohon (Peguam Negara), juga mengemukakan soalan sama ada Peguam Negara mempunyai kewajipan untuk mempertahankan atau mengesahkan bukti, pada peringkat permohonan kebenaran semasa prosedur semakan kehakiman berdasarkan peruntukan Perintah 53 Peraturan Mahkamah 2012.
Mengenai isu dibangkitkan responden (Najib), bahawa pemohon tidak akan berhadapan sebarang prejudis kerana pemohon tidak dihalang daripada mengemukakan hujah mengenai penerimaan bukti baru dan tambahan semasa pendengaran substantif di Mahkamah Tinggi, Hakim Hasnah berkata panel tersebut tidak bersetuju dengan pendirian tersebut oleh responden.
“Ini kerana dengan membenarkan bukti baru dan tambahan pada peringkat Mahkamah Rayuan, pemohon tidak lagi dapat berhujah di Mahkamah Tinggi mengenai kebolehterimaan bukti baru atau tambahan tersebut.
“Oleh kerana Mahkamah Tinggi akan terikat dengan keputusan Mahkamah Rayuan untuk menerima bukti baru atau tambahan, pemohon pasti akan berhadapan prejudis dalam konteks tersebut.
“Oleh itu, kami membenarkan permohonan kebenaran bagi kedua-dua permohonan ini tanpa sebarang perintah mengenai kos. Oleh kerana ini adalah kes kepentingan awam, kami merasakan bahawa tarikh pendengaran rayuan harus ditetapkan lebih awal,” katanya dan menetapkan dua hari bermula 1 Julai untuk mendengar rayuan Peguam Negara.
Peguam Negara sebagai pemohon, telah memfailkan permohonan untuk kebenaran terhadap keputusan Mahkamah Rayuan. Seorang pemohon itu perlu mendapatkan kebenaran untuk meneruskan rayuan ke Mahkamah Persekutuan.
Pada 6 Jan, dalam keputusan majoriti 2-1, Mahkamah Rayuan mengembalikan kes mengenai dakwaan Najib tentang kewujudan dokumen tambahan yang kononnya membolehkan beliau menjalani baki hukuman penjara enam tahun di bawah tahanan rumah, ke Mahkamah Tinggi untuk didengar berdasarkan meritnya.
Keputusan ini membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi, yang sebelum ini menolak permohonan Najib untuk kebenaran memulakan semakan kehakiman mengenai dokumen tambahan yang didakwa itu.
Pada 3 Julai tahun lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Amarjeet Singh menolak permohonan Najib untuk kebenaran memulakan semakan kehakiman, dengan memutuskan bahawa empat afidavit yang dikemukakan untuk menyokong dakwaannya, termasuk kenyataan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden UMNO Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, adalah khabar angin dan tidak boleh diterima sebagai bukti di mahkamah.
Najib sedang menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022, selepas didapati bersalah kerana menyalahgunakan RM42 juta daripada SRC International Sdn Bhd.
Mahkamah Tinggi pada awalnya menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta, keputusan yang kemudiannya disahkan Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.
Namun, petisyen beliau untuk pengampunan diraja pada 2 Sept 2022 menyebabkan Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman penjaranya kepada enam tahun dan mengurangkan denda kepada RM50 juta.
-- BERNAMA