AM

RAJA PERMAISURI AGONG BERANGKAT KE MAJLIS SANTAPAN PETANG BERSAMA PENGGIAT SENI, KARYAWAN NEGARA

28/04/2025 06:43 PM

KUALA LUMPUR, 28 April (Bernama) --  Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke majlis santapan petang bersama penggiat seni dan karyawan negara di Istana Negara hari ini.

Majlis yang berlangsung di Dewan Santapan Utama dihadiri isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Datuk Dr Aminuddin Hasim dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor (YRZSNJ) Hishamuddin Abdul Rahim

Antara penggiat seni yang turut kelihatan ialah legenda muzik tanah air Datuk M. Nasir, Datuk Ramli MS, penerbit dan pengarah terkenal Datuk Yusof Haslam, selain lebih 400 tetamu jemputan termasuk para pelajar sekolah, penggiat seni, karyawan, dan pempengaruh.

Majlis santapan petang bersama penggiat seni dan karyawan negara yang julung kali diadakan ini adalah cetusan idea yang diusulkan oleh Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong untuk mengetengahkan bakat dan mewujudkan interaksi positif antara penggiat seni tanah air dengan pelajar-pelajar sekolah, sekali gus meraikan dan menyantuni penggiat seni tanah air.

Pada majlis itu, Seri Paduka Baginda turut berkenan mengurniakan sumbangan kepada 150 pelajar asnaf dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur melalui Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor (YRZSNJ).

Tetamu dipersembahkan dengan nyanyian istimewa oleh artis popular tanah air iaitu Anuar Zain yang mendendangkan lagu ‘Sedetik Lebih’ dan M Nasir dengan lagu ‘Satu Hari di Hari Raya’ pada majlis yang menampilkan gandingan pengacara terkenal Zizan Razak dan Sherry Al Hadad.

Selain itu, jemputan turut dihiburkan dengan persembahan istimewa daripada pelajar sekolah sekitar Kuala Lumpur, diiringi kombo Simfoni Kayangan dari Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Jalil kelolaan Kementerian Pendidikan.

Antara persembahan pelajar sekolah adalah tarian Satu Malaysia, keroncong, violin solo, deklamasi sajak, seni visual, serta tarian zapin dan gendang masyarakat Cina.

Raja Zarith Sofiah turut berkenan beramah mesra bersama tetamu yang hadir.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan