AM

MAJLIS SANTAPAN PETANG BERSAMA RAJA PERMAISURI AGONG PENGIKTIRAFAN BUAT INDUSTRI KREATIF NEGARA

28/04/2025 08:53 PM

KUALA LUMPUR, 28 April (Bernama) -- Penggiat seni tanah air menyifatkan Majlis Santapan Petang bersama Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah yang diadakan di Istana Negara buat julung kalinya hari ini sebagai satu penghargaan besar terhadap industri seni tempatan.

Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) Datuk Hans Isaac berkata majlis itu menjadi kenangan manis buat penggiat seni dan satu pengiktirafan bermakna buat industri kreatif tanah air.

 "Kami amat berterima kasih kepada Seri Paduka Baginda kerana berkenan bertemu dengan anak-anak seni yang berbakat besar dalam pelbagai bidang persembahan. Tak selalu kami dijemput ke istana. Hari ini semua nampak gembira dan ini satu kenangan manis buat kami.

"Majlis ini menunjukkan tumpuan yang diberikan kepada kami dalam industri. Ia satu perkembangan sangat positif kerana mendorong bakat-bakat muda untuk lebih yakin dan berusaha menjadi artis profesional," katanya kepada Bernama ketika ditemui di Majlis Santapan Petang Bersama Penggiat Seni dan Karyawan Negara di Istana Negara, di sini, hari ini.

Terdahulu, Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke majlis berkenaan.

Hadir sama isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Datuk Dr Aminuddin Hasim serta Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor Hishamuddin Abdul Rahim.

Aktres dan penerbit tersohor Puan Sri Tiara Jacquelina pula berkata majlis santapan yang menghimpunkan karyawan seni daripada pelbagai bidang itu memberi inspirasi untuk terus berkarya, apatah lagi apabila usaha seni diiktiraf oleh pemimpin negara.

"Ini satu petanda yang baik untuk industri seni kerana apabila pemimpin mengiktiraf apa yang kami buat, ia sangat-sangat memberi semangat. Ia juga memperkaya budaya dan tradisi kita untuk generasi akan datang," katanya.

Sebagai individu yang terlibat dalam pembangunan bakat muda melalui akademi seni, beliau berkata sokongan terhadap generasi baharu penting dalam mencerminkan kemajuan sesebuah negara.

Sementara itu, pelakon era 80-an Datuk Seri Shah Rezza atau nama sebenarnya Raja Shah Zurin Raja Aman Shah, 64, berkata penganjuran majlis itu antara lain menyokong inisiatif memupuk minat seni dalam kalangan kanak-kanak, khususnya daripada keluarga B40, seperti yang dititahkan oleh Raja Permaisuri Agong.

Beliau berkata peluang berkarya dalam bidang seni bukan sahaja mengisi masa lapang secara positif malah dapat membentuk jiwa kanak-kanak menjadi lebih seimbang dan mengurangkan risiko masalah sosial.

"Kalau mereka ada minat dan peluang berkarya, masa yang terluang digunakan dengan berfaedah. Seni ini boleh mengikatkan kita...tengok macam saya, umur lebih 60 pun masih berlakon," katanya.

Majlis yang berlangsung di Dewan Santapan Utama, Istana Negara itu dihadiri kira-kira 400 tetamu jemputan termasuk pelajar sekolah.

Majlis santapan petang itu merupakan cetusan idea Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong sendiri untuk mengetengahkan bakat serta mewujudkan interaksi positif antara penggiat seni tanah air dengan pelajar sekolah.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan