AM

KERAJAAN DISARAN GUNA FIREWALL TAPIS APLIKASI AI TIDAK SELAMAT

28/04/2025 08:55 PM

KUALA LUMPUR, 28 April (Bernama) -- Kerajaan disaran menggunakan 'firewall' bagi menapis aplikasi berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang tidak memiliki ciri keselamatan kukuh sebagai langkah menghalang penyalahgunaan teknologi itu termasuk dalam penghasilan dan penyebaran kandungan lucah.

Bendahari Persatuan Internet Kebendaan (IoT) Malaysia Pathmanathan Muniandy berkata semua sistem AI perlu dibangunkan dengan Core Code iaitu kod keselamatan asas yang dipasang terus dalam sistem AI untuk penapisan automatik terhadap kandungan tidak bermoral.

Beliau berkata pembangunan AI perlu mematuhi peraturan keselamatan yang ketat dan tidak hanya bergantung kepada kawalan luaran.

“Sistem AI mesti diprogramkan dengan Core Code sejak awal bagi memastikan teknologi ini tidak disalahgunakan dan ia perlu menjadi sebahagian daripada DNA AI itu sendiri,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Pathmanathan merujuk kepada insiden seorang pelajar tingkatan empat yang didakwa di Mahkamah Majistret baru-baru ini atas pertuduhan memiliki dan menyunting gambar lucah menggunakan teknologi AI, yang menimbulkan kebimbangan terhadap penyalahgunaan teknologi itu terutama dalam kalangan golongan muda.

Walaupun Malaysia tidak dapat mengawal pembangunan teknologi antarabangsa, beliau mencadangkan agar negara ini memperkenal peraturan dalaman yang lebih ketat dan bekerjasama dengan ASEAN bagi mendesak penerapan standard keselamatan minimum dalam pembangunan AI.

Beliau turut menggesa agar pendidikan literasi AI diberi penekanan supaya generasi muda lebih memahami risiko penggunaan teknologi itu.

“Pendidikan dan hukuman mesti berjalan seiring. Kesedaran perlu diberikan sejak awal tetapi hukuman yang tegas harus dikenakan kepada mereka yang menyalahgunakan teknologi ini,” katanya.

Pathmanathan berkata AI sepatutnya menjadi alat bagi membina serta memudahkan kehidupan dan bukan digunakan untuk merosakkan reputasi atau keselamatan individu.

Justeru itu, beliau menyeru semua pihak termasuk kerajaan, pembangun teknologi dan pengguna agar bertanggungjawab memastikan penggunaan AI yang beretika serta selamat.

-- BERNAMA 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan